Muhyiddin tokoh paling popular

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai tokoh pemimpin politik paling disenangi rakyat Malaysia meskipun tahap sokongan diterima semakin merosot bagi tempoh tiga suku tahun berturut-turut.

Berdasarkan kaji selidik dijalankan sebuah firma penyeldikan, O2 Research Malaysia pada suku pertama tahun 2021, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerima sokongan setinggi 51 peratus berbanding ketua parti-parti lain.

Jelas Penyelidik Kanan O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi, kajian garis masa dijalankan bermula penggal kedua tahun 2020 sehingga penggal pertama tahun 2021 mendapati, sokongan terhadap Muhyiddin merosot daripada 66 peratus (suku kedua tahun 2020) kemudian 53 peratus (suku keempat 2020) sebelum jatuh kepada 51 peratus.

Namun katanya, sokongan itu masih tinggi berbanding pemimpin-pemimpin lain.

“Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berada di tempat kedua dengan sokongan popular 34 peratus, diikuti Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (30 peratus); dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim (26 peratus).

“Seterusnya, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu menerima sokongan popular pada 22 peratus dan terakhir Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (11 peratus),” katanya pada Rabu.

Abdul Hadi
Abdul Hadi

Beliau berkata demikian bagi mengulas hasil dapatan satu kaji selidik diusahakan O2 Research Malaysia bermula 26 Mac hingga 9 April lalu bagi meneliti tahap sokongan dan kecenderungan pengundi berdasarkan perkembangan semasa politik negara.

Artikel Berkaitan:

Seramai 1,602 responden telah terlibat, terdiri daripada 54 peratus kaum Melayu Semenanjung, 28 peratus kaum Cina, 11 peratus kaum bumiputera Sabah dan Sarawak dan tujuh peratus kaum India dengan kaedah persampelan rawak berstrata digunakan bagi melengkapkan hasil kaji selidik berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Anis Anwar turut mendedahkan kajian sokongan popular terhadap dua bekas Perdana Menteri iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak adalah berada pada kedudukan sederhana.

Jelas beliau, garis masa tahap populariti Dr Mahathir adalah bersifat turun naik, bermula kadar sokongan 40 peratus pada suku kedua tahun 2020, menurun 29 peratus (suku keempat tahun 2020) sebelum kembali meningkat 33 peratus pada suku pertama 2021.

“Peratusan tahap populariti Najib juga menunjukkan trend sama, bermula 24 peratus pada suku kedua tahun 2020 seterusnya menurun menjadi 21 peratus pada suku ketiga tahun 2020.

“Bagaimanapun, populariti Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) itu kembali meningkat kepada 27 peratus pada suku pertama tahun 2021,” katanya.