Justin pangku tugas CEO Melaka United

No Image Caption
A
A
A

PEMILIK Melaka United, Datuk Seri Justin Lim akan memangku tugas tugas selaku ketua pegawai eksekutif kelab berkenaan susulan peletakan jawatan Datuk Mohd Saiful Mat Sapri.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) Datuk Seri Sulaiman Md Ali di Seri Negeri pada Selasa.

"Saiful memaklumkan dia mahu meletak jawatan bagi memberi tumpuan kepada perniagaannya dalam pertemuan siang tadi. Walaupun berat, kami terpaksa menerima peletakan tersebut dan saya akan mengambil alih tugas tersebut sehingga akhir musim," katanya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan pihaknya juga bersetuju untuk mengekalkan Zainal Abidin Hassan sebagai ketua jurulatih Melaka United sehingga tamat musim ini.

"Melaka United juga bakal menerima kehadiran pemain dari Johor Darul Ta'zim (JDT), Gary Steven Robbat yang semakin hampir menyertai skuad Hang Tuah secara pinjaman.

"Dua pemain import baharu kita dari Brazil juga kini sudah sampai dan sedang dikuarantin sebelum menyertai latihan sedikit masa lagi.

"Kita berharap kehadiran pemain-pemain baharu ini dapat membantu Melaka United memperoleh keputusan yang lebih baik dalam baki perlawanan Liga Super musim ini," katanya.

Artikel Berkaitan: