Pas Pahang sumbang RM707,527 untuk rakyat Palestin

Shahril Azman
Shahril Azman
A
A
A

KUANTAN - Pas Pahang menyumbang sebanyak RM707,527 hasil kutipan derma di seluruh negeri sebagai tanda kebersamaan perjuangan membebaskan bumi Palestin daripada kekejaman Zionis.

Bendahari Pas Negeri, Shahril Azman Abdul Halim berkata, kutipan itu berjaya dikumpulkan dalam tempoh lima hari dari 14 kawasan di negeri ini.

Menurut beliau, kutipan itu akan diserahkan oleh Pesuruhjaya Pas Negeri, Rosli Abdul Jabar kepada #Aid4Palestine dalam masa terdekat.

"Semua ahli Pas di seluruh Pahang termasuk dewan pemuda dan dewan ulamak berusaha menghulurkan bantuan kepada rakyat Palestin.

"Kawasan paling tertinggi mengumpul dana adalah Pas Kuala Krau sebanyak RM102,206, diikuti Indera Mahkota (RM92,560), Rompin (RM72,976) dan diikuti 11 lagi kawasan membabitkan keseluruhan kutipan RM707,527," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Shahril Azman berkata, kutipan itu membuktikan semua ahli Pas memberikan komited tinggi untuk membantu saudara di Palestin.

Dalam pada itu, katanya, Pas negeri mengecam sekeras-kerasnya tindakan kejam Israel ke atas orang awam di Palestin ketika ini.

Tambahnya, kekejaman rejim Israel meskipun cuba ditutup oleh media-media antarabangsa telah menambah satu lagi episod penderitaan rakyat Palestin yang selama ini hidup tertindas dan terkepung di tanah air sendiri.

Artikel Berkaitan:

“Ratusan nyawa yang tidak berdosa terkorban, manakala infrastruktur seperti kediaman, sekolah dan bangunan kerajaan mengalami kemusnahan,” katanya.