'Jangan gelar mereka perusuh, kes masih disiasat'

Pemuda UMNO Johor menawarkan khidmat guaman percuma kepada individu yang ditahan polis kerana menyertai himpunan di Parit Raja Batu Pahat pada Khamis lalu.
Pemuda UMNO Johor menawarkan khidmat guaman percuma kepada individu yang ditahan polis kerana menyertai himpunan di Parit Raja Batu Pahat pada Khamis lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pemuda UMNO Johor meminta agar individu yang terlibat dengan kes kain rentang 'kerajaan gagal' di Parit Raja, Batu Pahat pada Khamis lalu tidak dilemparkan dengan gelaran sebagai perusuh.

Pengerusi Sekretariat Peguam Pemuda UMNO Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, masyarakat juga perlu yakin dengan kredibiliti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam siasatan yang telus.

"Kepada mana-mana pihak yang menggelar mereka-mereka ini sebagai 'perusuh', hormatilah hak mereka kerana siasatan masih dijalankan.

"Sekiranya ada antara mereka yang akan didakwa, Sekretariat Peguam Pemuda UMNO Johor akan terus menawar dan menyediakan khidmat guaman percuma," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Laporan Sinar Harian mengenai kes berkenaan.
Laporan Sinar Harian mengenai kes berkenaan.

Sementara itu, beliau memaklumkan setakat Rabu, enam daripada 10 individu terlibat menggunakan khidmat nasihat Sekretariat Peguam Pemuda UMNO Johor.

Pada Ahad lalu, Pemuda UMNO Johor menawarkan khidmat guaman percuma kepada sekumpulan pemuda yang ditahan polis kerana menyertai himpunan 'kerajaan gagal' di Parit Raja Batu Pahat.

Pada Selasa, polis menahan tujuh lagi individu bagi membantu siasatan berhubung demonstrasi jalanan, membakar suar dan menaikkan kain rentang bertulis 'kerajaan gagal' di Parit Raja di sini pada Khamis lalu.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tujuh individu berusia 19 hingga 23 tahun terbabit direman selama tiga hari bermula Selasa.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!