Lebuh Raya Karak sesak, takkan semua balik sebab bisnes, PJJ

No Image Caption
A
A
A

MERAK Jalanan geleng kepala melihat gambar-gambar tular mengenai Lebuh Raya Karak menuju ke Plaza Tol Gombak dan Kuala Lumpur yang sesak teruk pada malam Ahad lalu.

Hairan bin ajaib memikirkan takkan semua orang yang ada di atas lebuh raya itu pergi dan pulang dari negeri pantai timur sebab beraya dengan pasangan jarak jauh (PJJ)?

Atau adakah kemungkinan juga mereka semua baru selesai urusan bisnes di kampung halaman?

Yang curiganya, pertama sekali, kenapa lebuh raya lain seperti Lebuh Raya Utara-Selatan atau Jambatan Pulau Pinang sunyi sahaja malam itu.

Warga Lembah Klang lain tidak ada pasangan jarak jauhkah di negeri utara atau di selatan?

Selain itu, kalau betullah semua yang bersesak di atas Lebuh Raya Karak kerana ada urusan bisnes, tapi hairan sungguh segala urusan perniagaan selesai betul-betul menjelang Isnin atau lebih tepat lagi esoknya hari bekerja.

Kalau difikirkan logik, Merak Jalanan yakin hakikatnya ramai yang lolos ke kampung halaman di pantai timur tidak lain dan tidak bukan demi berhari raya.

Cuma bezanya mereka mungkin berjaya mendapatkan kebenaran pulang ke kampung halaman secara ‘halal’ menggunakan alasan yang ‘mengaburi’ pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

Beberapa rakan Merak Jalanan mengakui mereka menggunakan surat bekerja atau syarikat memandangkan masing-masing ada bisnes sendiri.

Namun, dengan Malaysia sedang menyaksikan lonjakan kes setiap hari, adalah amat menyedihkan betapa ramai sebenarnya yang amat mementingkan diri.

Lebih menyedihkan walaupun sudah ada banyak kejadian seperti kes anak pulang ke kampung kerana kenduri dan menjangkiti ibu ayah, tetapi ramai masih berdegil hanya kerana nak beraya.