Hentikan jenayah perang Israel

Api besar menjulang selepas roket yang dilepaskan oleh tentera Zionis memusnahkan beberapa bangunan di Gaza. - EPA
Api besar menjulang selepas roket yang dilepaskan oleh tentera Zionis memusnahkan beberapa bangunan di Gaza. - EPA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali menyeru agar jenayah perang di bumi Palestin yang didalangi rejim Israel harus segera dihentikan dengan sokongan masyarakat antarabangsa.

Dalam pertemuan eksklusif bersama Sinar Harian, Walid berkata, keutamaan paling mendesak adalah menghentikan pertumpahan darah dan kesengsaraan rakyat Palestin akibat jenayah perang tentera Israel yang tidak berkesudahan.

“Pertumpahan darah masih berlaku, rakyat Palestin terus dihujani peluru dan serangan udara masih bertali-arus di Gaza,” kata Walid yang ditemui di Kedutaan Palestin di sini pada Selasa.

Menurutnya, rakyat Palestin yang hidup tertindas selama lebih tujuh dekad sejak tertubuhnya negara haram Israel pada tahun 1948 kini berdepan malapetaka baharu susulan provokasi yang dicetuskan tentera rejim Israel di Masjid al-Aqsa dan juga pencerobohan di Sheikh Jarrah baru-baru ini.

WALID
WALID

“Rakyat Palestin hidup dalam keadaan perang dengan tentera Israel yang jauh lebih maju dan lengkap dari segi kemampuan ketenteraan. Berbekalkan pesawat seperti F50 dan F-16, tentera rejim menyerang Gaza dengan menyasarkan orang awam, bangunan, hospital dan juga sekolah,” katanya lagi.

Walid turut mengingatkan tentang kerakusan cita-cita Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang sanggup mencetuskan konfrontasi dan peperangan dengan harapan dapat meraih sokongan rakyat Israel sekali gus membentuk kerajaan.

Tidak terkecuali, syor Deal of the Century oleh pentadbiran terdahulu Amerika Syarikat (AS) yang menyaksikan negara Barat itu memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Artikel Berkaitan:

Hal tersebut menjadi antara punca utama pergolakan di bumi Palestin sehingga ke hari ini dan sehubungan itu Walid menyeru komuniti antarabangsa tampil membantu usaha menamatkan jenayah rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.

Sebuah unit artileri Israel melepaskan tembakan ke arah Gaza ketika serangan ke atas Palestin memasuki minggu kedua. - AP
Sebuah unit artileri Israel melepaskan tembakan ke arah Gaza ketika serangan ke atas Palestin memasuki minggu kedua. - AP

Ujar Walid, rejim Israel mendapat lesen besar untuk melakukan keganasan berikutan sokongan kuat daripada kuasa besar seperti Amerika Syarikat.

“Apabila misil rejim Israel membedil Palestin, semua rakyatnya menjadi sasaran serangan tanpa mengira sama ada mereka adalah Hamas atau Fatah. Kesengsaraan yang dialami semua rakyat Palestin adalah sama,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Walid menyampaikan pesanan kepada rakyat Malaysia agar terus menyokong Palestin dalam memperjuangkan kemerdekaan tanah air mereka.