Melaka perlukan 60 hektar kolam takungan elak banjir

Keadaan Kolam Takungan Banjir Sungai Putat yang diibaratkan seperti pulau dalam kejadian banjir di sini pada Isnin.
Keadaan Kolam Takungan Banjir Sungai Putat yang diibaratkan seperti pulau dalam kejadian banjir di sini pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Masalah banjir di negeri ini mampu diselesaikan sekiranya kerja-kerja memperluaskan dan mendalamkan Kolam Takungan Banjir Sungai Putat dapat dilaksanakan segera.

Exco Pembangunan Daerah, Luar Bandar, Pengurusan Banjir dan Teknologi Hijau, Datuk Seri Idris Haron berkata, ini kerana kolam sedia ada itu hanya berkeluasan sembilan hektar dan tidak dapat menampung kapasiti air yang banyak sekiranya hujan lebat berpanjangan hingga menyebabkan berlaku limpahan air serta banjir di kawasan berdekatan.

Menurutnya, sudah tiba masanya kolam takungan banjir utama di daerah Melaka Tengah itu diperbesarkan malah terdapat kajian yang dijalankan, Melaka memerlukan kawasan kolam takungan banjir seluas 60 hektar bagi memastikan bencana banjir tidak terus menghantui rakyat terutama mereka yang mendiami kawasan berdekatan kolam, sungai dan kawasan rendah.

"Rancangan kolam takungan seluas 60 hektar itu akan dilaksanakan secara dinamik, pihak pengurusan banjir juga akan mengenal pasti kawasan sesuai untuk pembinaan kolam takungan banjir baharu.

"Kerja-kerja pelaksanaan itu dijangka menelan kos RM350 juta bagi mengatasi masalah banjir mahupun air melimpah di negeri ini termasuk di kawasan Sungai Putat," katanya ketika melawat Kolam Takungan Banjir Sungai Putat di sini pada Selasa.

Idris (kiri) meninjau Kolam Takungan Banjir Sungai Putat yang kembali sedia kala selepas banjir yang melanda.
Idris (kiri) meninjau Kolam Takungan Banjir Sungai Putat yang kembali sedia kala selepas banjir yang melanda.

Idris berkata, Melaka akan berdepan bencana banjir selagi tidak mempunyai pengurusan air limpahan yang efisien dan cekap.

Katanya, perubahan angin monsun Timur Laut kepada angin monsun Barat Daya menyebabkan berlaku situasi tidak menentu di Melaka hingga hujan lebat luar biasa dan berlaku limpahan air di kawasan berdekatan kolam takungan ini hingga ke Bukit Beruang.

Artikel Berkaitan:

"Jadi kita akan mencari kaedah-kaedah lain untuk tindakan awal seperti memperluaskan kolam takungan ini dan membesarkan lagi parit-parit monsun, jika tidak banjir akan berulang lagi," katanya.

Mengulas lanjut, Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang berkata, siasatan yang dijalankan turut mendapati salah sebuah pintu air di Sungai Melaka tidak berfungsi dan tindakan segera akan diambil pihak berkenaan termasuk Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS), Pejabat Daerah Melaka Tengah dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Walaupun sebuah pintu air tidak berfungsi dan rosak semalam (Isnin), banjir tetap berlaku, cuma dalam pengurusan banjir lebih baik jika ia berfungsi," katanya.

Pada Isnin, kolam takungan itu berlaku limpahan air menyebabkan beberapa buah kereta tidak dapat diselamatkan dan tenggelam selain beberapa tempat termasuk kawasan perumahan dan kampung dinaiki air.