Mustafa Zazai tekad baiki prestasi

Pemain UKM FC, Milad Zanidpour Mansour (kanan) bersaing dengan pemain Kelantan, Zazai Mustafa (dua, kanan) pada perlawanan Liga Premier Malaysia 2019 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.
A
A

PEMAIN import Kelantan, Mustafa Zazai mengakui prestasinya kurang menyerlah dalam membantu The Red Warriors (TRW) untuk memberikan cabaran kepada lawan selepas tiga perlawanan Liga Premier.

Pemain kebangsaan Afghanistan yang bermain di posisi serangan itu mengakui gagal menyerlah pada ketiga-tiga perlawanan itu menyebabkan TRW hanya memperoleh empat mata termasuk tiga mata semasa perlawanan dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC, namun sebelum itu TRW memperoleh satu mata ketika melayan kunjungan Sabah, kalah pada perlawanan menentang Selangor United.

“Sebagai pemain import, peranan saya sudah tentu diharapkan untuk memberikan kesan yang lebih daripada pemain tempatan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mustafa ialah antara empat pemain asing yang berkhidmat dalam pasukan Kelantan musim ini untuk membawa misi Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) kembali beraksi pada saingan Liga Super musim depan.

Tiga lagi pemain import Kelantan ialah dua pemain Brazil Flavio Beck Junior dan Cassio De Jesus serta Raul Tarragona dari Uruguay.

Mustafa yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialami semasa menjalani latihan dan permainan persahabatan berkata, beliau memerlukan masa untuk kembali ke prestasi asal.

"Keadaan ini membataskan corak permainan saya terutama untuk menyumbang gol kepada pasukan," katanya.

"Saya memerlukan masa untuk membuktikan kemampuan saya. Sekarang ini, jika penyokong bercakap tentang prestasi saya yang kurang memuaskan, saya perlu akui perkara itu,” katanya - Bernama