Pasangan remaja Orang Asli peluk Islam sebelum berkahwin

Anggota Dewan Undangan Negeri Paloh Amran Arifin (tengah) bersama remaja Orang Asli Ayub Raju, 23, yang memeluk Islam pada Program Seperlu Bersama Orang Asli di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir hari ini. - Foto Bernama
Anggota Dewan Undangan Negeri Paloh Amran Arifin (tengah) bersama remaja Orang Asli Ayub Raju, 23, yang memeluk Islam pada Program Seperlu Bersama Orang Asli di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

GUA MUSANG - Dua pasangan remaja Orang Asli yang bakal mendirikan rumah tangga memeluk Islam pada Program Seperlu Bersama Orang Asli di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir, disini hari ini.

Remaja berumur antara 19 hingga 23 tahun itu mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan ADUN Paloh, Amran Ariffin.

Ayub Raju, 23, berkata beliau amat teruja memeluk agama Islam dan merasai ketenangan dihati selepas mengucap dua kalimah syahadah dengan harapan mendapat rahmat daripada Allah.

Beliau mengakui niat untuk memeluk Islam sudah lama terpendam dan kebetulan ada program itu beliau membuat keputusan untuk bersyahadah di hadapan wakil rakyat dengan disaksikan penduduk setempat yang hadir pada program Seperlu itu.

"Saya bersama pasangan akan mendiri rumah tangga dalam masa terdekat ini dan bersyukur hasrat saya untuk memeluk agama Islam berjalan lancar," katanya ketika ditemui selepas program berkenaan.

Ayub berkata, rakan-rakannya sudah lama memeluk Islam dan melihat mereka bahagia bersama isteri selepas berumah tangga kerana keberkatan daripada Allah dan menerima petunjukNya di dunia dan akhirat.

Katanya, beliau juga sudah menerima restu ibu bapa tunangnya Rozi Long Seman dan sebelum memulakan hidup baru sebagai suami isteri, beliau akan mendalami ajaran Islam terlebih dahulu terutama belajar solat dan membaca al-Quran.

Rozi, 22, pula berkata, keputusan memeluk Islam mendapat restu kedua ibu bapanya walaupun mereka berdua bukan Islam.

Artikel Berkaitan:

Katanya, beliau juga sebelum ini berkawan dengan rakan-rakan yang beragama Islam dan sudah tahu selok belok agama itu termasuk perkara halal dan haram dalam kehidupan harian.

"Saya bersyukur kerana dapat memeluk agama Islam semoga terus mendapat rahmat daripada Allah sehingga ke anak cucu,"katanya. - Bernama