ATM perlu 30 doktor, 100 paramedik di hospital medan baharu

Ismail Sabri meninjau kelengkapan yang terdapat di dalam ICU Medan yang akan diatur gerak ke Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang. - Foto Bernama
Ismail Sabri meninjau kelengkapan yang terdapat di dalam ICU Medan yang akan diatur gerak ke Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memerlukan sekurang-kurangnya 30 doktor serta 100 paramedik bagi menampung pembinaan sesebuah hospital medan baharu di dalam negara, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin.

Beliau berkata, pembinaan hospital medan adalah bergantung kepada penyediaan jumlah berkenaan oleh kerajaan.

Setakat ini, beliau berkata, ATM telah mendirikan tiga hospital medan di Kapit, Sarawak; Tawau, Sabah serta Kepala Batas di Pulau Pinang dan jika ATM hendak membina lagi hospital medan ia memerlukan lebih ramai kakitangan.

"Sekarang ini, ATM memang kekurangan doktor dan paramedik dan ATM perlu mohon kepada kerajaan untuk menambahnya," katanya kepada pemberita selepas hadir taklimat kesiagaan perkhidmatan kesihatan ATM dalam membantu negara menghadapi wabak Covid-19 di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, sehingga kini sejumlah 18 katil telah ditempatkan di Hospital Medan Kepala Batas yang dijadualkan beroperasi esok (Selasa).

"Jumlah itu merangkumi 24 buah katil diminta bagi kegunaan pesakit Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital terbabit," katanya.

Mengenai kemungkinan Selangor dikenakan PKP secara menyeluruh termasuk sektor ekonomi ditutup berikutan peningkatan kes Covid-19 dilihat semakin tidak terkawal, beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Sebarang keputusan berhubung perkara itu akan dibuat pada sidang khas MKN," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama ketika mengulas isu kesesakan lalu lintas yang berlaku di Plaza Tol Gombak menghala ke Pantai Timur yang tular baru-baru ini di media sosial, beliau berkata perkara itu terletak di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia. - Bernama