PRN Sarawak tidak sesuai diadakan

Beberapa pakar kesihatan awam berpendapat Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak tidak sesuai diadakan buat masa ini.
Beberapa pakar kesihatan awam berpendapat Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak tidak sesuai diadakan buat masa ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Beberapa pakar kesihatan awam berpendapat Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak tidak sesuai diadakan buat masa ini.

Menurut Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, ini kerana kes Covid-19 masih lagi tinggi terutamanya di Sarawak.

Katanya, jika PRN Sarawak diadakan pada masa ini, tidak mustahil peristiwa sama yang berlaku ketika PRN Sabah akan berulang.

“Sebaik-baiknya tangguh dahulu (untuk adakan PRN Sarawak) dan kita juga dalam keadaan darurat,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg akan menghadap Yang di-Pertuan Agong berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang penggal terkini akan berakhir pada 6 Jun.

Mengikut Perlembagaan Sarawak, tempoh DUN tamat pada 6 Jun 2021, iaitu lima tahun dari 7 Jun 2016 yang juga tarikh mesyuarat pertama DUN selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2016.

Dalam keadaan biasa, DUN sepatutnya dibubar untuk mengembalikan mandat serta hak demokrasi rakyat untuk memilih kerajaan melalui pilihan raya.

Bagaimanapun, PRN Ke-12 tidak dapat diadakan ketika ini kerana negara di bawah darurat sehingga 1 Ogos 2021.

Artikel Berkaitan:

Zainal Ariffin menambah, prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat daripada PRN Sabah perlu dilaksanakan sekiranya PRN Sarawak tetap mahu diadakan.

“(SOP) dari segi perjalanan dari Sarawak ke Semenanjung, Semenanjung ke Sarawak dan kempen politik perlu lebih diperketatkan kali ini,” tegasnya.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Malina Osman berkata, aktiviti kempen dan perhimpunan politik pada PRN Sarawak yang melibatkan jumlah individu yang ramai akan meningkatkan risiko penularan jangkitan Covid-19.

“Pada masa ini, sistem perkhidmatan kesihatan agak genting berikutan kes aktif dan kes baharu masih lagi dalam pola pertambahan,” katanya.