X

Kindly register in order to view this article
!

PBS tolak dakwaan tubuh kerajaan dengan Warisan

Joniston Bangkuai
A
A

KOTA KINABALU - Parti Bersatu Sabah (PBS) menolak dakwaan bahawa parti itu menubuhkan kerajaan baharu dengan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Setiausaha Agung PBS, Datuk Joniston Bangkuai berkata, perkara itu tidak benar dan sengaja diputar belit oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

"Tiada apa-apa yang perlu dinafikan, sebab ia tidak betul. Ini mungkin kerja orang-orang yang berniat jahat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas khabar angin bahawa Warisan akan menubuhkan kerajaan baharu dengan parti tempatan termasuk PBS, Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bebas serta Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau berkata, tiada isu salah faham menerusi kenyataan yang dikeluarkan PBS melalui presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili baru-baru ini.

"Tiada yang silap, tidak ada Maximus kata mahu tubuh kerajaan dengan Warisan. Dia kata, kita kerja, terus sokong Perikatan Nasional (PN), kita sokong Muhyiddin (Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin)," tegasnya sambil menolak sebarang spekulasi kerjasama antara Warisan.

Sebelum ini tular satu kenyataan di media sosial bahawa Warisan yang mempunyai 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan bersatu dengan parti tempatan iaitu PBS dengan tujuh kerusi, PKR (dua), UPKO (satu) serta ADUN Bebas tiga kerusi.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan adalah sebanyak 41 kerusi yang membolehkan kerajaan baharu ditubuhkan, sekali gus menumbangkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sejak lapan bulan lalu.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!