X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan perlu desak PBB bertindak tegas ke atas Israel

Pencerobohan dan serangan rejim zionis Israel terhadap rakyat Palestin satu tindakan keji serta biadab. - Foto AFP
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Bekas Ahli 4B Malaysia (Alumni 4B Malaysia) meminta kerajaan mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya bertindak tegas ke atas rejim Zionis Israel untuk menghentikan kezaliman terhadap rakyat Palestin.

Presiden Alumni 4B Malaysia, Datuk Syed Azmi Ahmad Syed Nazir Ahmad Al-Husaini berkata, pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tersebut yang bertindak ganas, zalim dan melakukan kekejaman yang keterlaluan serta di luar norma kemanusiaan.

“Alumni 4B Malaysia turut kecewa dan kesal dengan serangan udara dan pencerobohan berterusan tentera rejim Israel terhadap rakyat Palestin ketika umat Islam sedang mengerjakan ibadah di Masjid Al-Aqsa.

“Perbuatan keji dan biadab ini telah mencemar kehormatan agama Islam amat mengguris hati dan perasaan umat Islam di seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Syed Azmi Ahmad Syed Nazir Ahmad Al-Husaini
Syed Azmi Ahmad Syed Nazir Ahmad Al-Husaini

Dalam pada itu, Syed Azmi berkata, pihaknya bakal melancarkan Tabung Dana Solidariti Al-Aqsa sebagai usaha membantu rakyat Palestin yang menjadi mangsa kezaliman rejim Zionis Israel.

Katanya, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Alumni 4B Malaysia melalui akaun CIMB 86-0006389-3.

“Seluruh ahli Alumni 4B Malaysia dan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dirayu untuk menyumbang ke tabung ini.

“Insya-ALLAH sumbangan kita akan menjadi pembakar semangat buat rakyat Palestin dan saham akhirat untuk kita,” katanya.

Dilaporkan pencerobohan dan serangan rejim zionis Israel terhadap rakyat Palestin kali ini bermula dengan serangan di Masjid al-Aqsa sejak 7 Mei lepas diikuti serangan udara di Semenanjung Gaza.

Sejak itu, dilaporkan lebih 119 rakyat Palestin terkorban dan beratus-ratus lagi cedera setakat ini.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!