X

Kindly register in order to view this article
!

43 dikompaun ‘ambil angin’ di dataran drawbridge

Antara individu dikompaun kerana dikesan melanggar SOP PKP dengan berkumpul dan bersiar-siar di dataran jambatan angkat (drawbridge) pada Jumaat. -Foto: Ihsan pembaca
A
A

KUALA TERENGGANU – Seramai 43 individu dikompaun membabitkan RM172,000 pada Jumaat ekoran gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan berkumpul dan bersiar-siar di tempat awam di dataran drawbridge.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, kesemua mereka tidak mematuhi SOP penjarakan fizikal mengikut Seksyen 17 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Sebanyak 43 individu dikesan gagal mematuhi SOP PKP ketika berada di kawasan pantai antaranya melibatkan kawasan di sepanjang Pantai Seberang Takir berdekatan Jambatan Angkat (Drawbridge) hingga ke Pantai Batu Buruk.

“Mereka yang dikesan melakukan kesalahan itu semasa bersiar-siar dan mengambil gambar dikenakan kompaun,” katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Dalam pada itu, katanya, seramai 47 individu dikenakan kompaun sepanjang tempoh dua hari perayaan bermula Jumaat dan Sabtu dengan tiga lagi melibatkan kesalahan tiada surat rentas negeri, rentas daerah serta dua kesalahan melanggar perintah SOP.

Selain itu, katanya, seramai sembilan individu lagi dikenakan kompaun pada Khamis dan Jumaat atas kesalahan tidak memakai pelitup muka, tidak mendaftar nama dan merekod suhu serta empat lagi kesalahan tiada surat rentas negeri.

Dalam pada itu, Roslee turut mengingatkan orang ramai supaya mematuhi SOP PKP yang ditetapkan sepanjang musim perayaan bagi mengekang dan mengelak penularan pandemik Covid-19.

“Terdapat beberapa sektor yang dibenarkan dan tidak dibenarkan dilakukan sepanjang tempoh PKP ini dan saya harap rakyat akan terus mematuhi SOP yang ditetapkan bagi mengelak jangkitan Covid-19.

“Saya dapati ramai yang masih keliru mengenai aktiviti ziarah sepanjang musim perayaan. Saya ingin tegaskan sekali lagi, sebarang aktiviti ziarah melanggar SOP PKP dan boleh dikenakan tindakan,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!