X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 06 Disember 2021

Demonstrasi ‘Kerajaan Gagal’ satu bentuk provokasi: Bersatu

Mahathir Mohd Rais
A
A

SHAH ALAM - Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Segambut, Mahathir Mohd Rais menyifatkan tindakan demonstrasi jalanan ‘Kerajaan Gagal’ yang berlaku di Parit Raja, Batu Pahat sebagai satu bentuk provokasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Mahathir berkata, aktiviti provokasi tersebut wajar diambil tindakan kerana ia dapat menggugat keharmonian dalam negara.

“Insiden yang berlaku di Batu Pahat baru-baru ini jelas menunjukkan satu bentuk provokasi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Tidak salah saya katakan, mereka yang berakal pendek.

“Saya menyelar sekeras-kerasnya tindakan provokasi yang telah berlaku di Batu Pahat. Saya juga menyeru tindakan keras diambil terhadap dalang yang terlibat dalam insiden tersebut. Perkara sebegini dapat menggugat keharmonian negara kita,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, golongan anak muda tidak sepatutnya dipergunakan untuk melakukan jenayah dan melanggar undang-undang demi kepentingan diri.

“Sanggup mempergunakan anak muda untuk melakukan jenayah demi kepentingan diri sendiri.

“Anak muda seharusnya diasah dan dibantu untuk menjadi manusia yang berjaya dan berguna kepada masyarakat telah dipergunakan untuk melanggar peruntukan undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mempersoalkan motif tindakan pihak tertentu yang mencetuskan gerakan berkenaan.

“Saban hari #KerajaanGagal semakin galak digunakan di sosial media. Bagaikan tiada ribut, tiada angin munculnya tanda pagar tersebut. Persoalannya siapakah dalang di sebalik tanda pagar ini.

“Apakah dia seorang yang begitu gagal dalam hidup ini sehingga sanggup menyalahkan kerajaan atas kegagalan tersebut?

“Atau adakah ini sebagai langkah untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap wujudnya jajaran baru di antara pihak sebelah sana?” Soalnya.

Pada Khamis, insiden merusuh, membakar suar dan menaikkan kain rentang 'Kerajaan Gagal' di Parit Raja tular dalam laman sosial, baru-baru ini.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat menahan 20 individu pada Jumaat kerana disyaki terlibat dalam insiden berkenaan dan mendapati kesemua individu berusia antara 16 dan 28 tahun itu merupakan penduduk setempat.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis siasat terperinci insiden merusuh Parit Raja


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!