Pas seru rakyat baca Qunut Nazilah untuk Palestin

Nik Muhammad Zawawi Salleh
Nik Muhammad Zawawi Salleh
A
A
A

SHAH ALAM - Pas pada Sabtu menyeru rakyat Malaysia membaca Qunut Nazilah pada setiap waktu solat fardu berhubung isu yang menimpa Palestin.

Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP), Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, isu yang berlaku di Palestin bukan isu yang asing bagi rakyat Malaysia.

“Ia bukan isu untuk rakyat Palestin dan masyarakat Arab sahaja. Ia isu merentasi blok bangsa dan negara. Ia isu ummah yang mesti dicakna oleh ummah.

“DUPP mengharapkan kerjasama baik daripada Jabatan Agama Islam negeri-negeri untuk mengeluarkan arahan dan panduan kepada seluruh masjid dan surau di samping berdoa mengangkat wabak pandemik ini agar disekalikan doa serta Qunut Nazilah bagi isu di Palestin yang sedang bergelut ini,” katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Ahli Parlimen Pasir Puteh itu menambah, rakyat Palestin berkorban nyawa dan menyambut Aidilfitri dengan darah mereka demi menjaga Baitul Maqdis untuk ummah.

“Maka sewajarnya kita turut bersama dengan usaha kita perjuangkan dari sudut doa, Qunut Nazilah, sebarang informasi dan sumbangan dana,” katanya.

Beliau turut menggesa agar negara-negara dalam jaringan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bangkit bersuara dengan lantang dan tegas bagi menghentikan perbuatan terkutuk Israel.

“Liga Arab mesti berperanan dalam isu Palestin ini kerana mereka paling hampir bahkan mengelilingi Palestin.

Artikel Berkaitan:

“Negara-negara jiran Palestin mesti membuka sempadan agar bantuan kepada Palestin dapat disalurkan dengan semaksimum mungkin,” katanya.