KKM lanjut kuarantin penumpang tiba dari India kepada 21 hari

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melanjutkan tempoh kuarantin wajib bagi penumpang yang tiba dari India bagi misi Humanitarian Assistance and Disaster Relief (HADR) pada 12 Mei 2021.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia termasuk penumpang yang tiba melalui penerbangan repatriasi pada 13 Mei 2021, iaitu daripada 14 hari kepada 21 hari.

"Mereka dikehendaki menjalani kuarantin wajib ini di stesen kuarantin ditetapkan kerajaan dan juga perlu menjalani ujian makmal RT-PCR bagi pengesanan Covid-19 mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Selanjutnya, KKM akan memantau situasi ini, dan akan membuat penilaian risiko untuk segera melihat keperluan memanjangkan tempoh kuarantin dari 14 hari kepada 21 hari bagi semua penumpang lain yang akan tiba dari negara India (misalnya rakyat Malaysia)," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada 11 Mei lalu kerajaan bersetuju membawa pulang rakyat Malaysia dari India menerusi misi HADR.

Penerbangan berkenaan membawa pulang 132 orang (64 lelaki dan 68 perempuan) iaitu 117 orang rakyat Malaysia, lapan warga Brunei, empat warga Denmark, dua warga India dan seorang warga Indonesia.

"Mereka terdiri dari 92 orang dewasa dan 40 orang kanak-kanak. Misi ini hanya membawa pulang penumpang dengan keputusan ujian RT- PCR Covid-19 negatif sahaja," kata Dr Noor Hisham.

Menurutnya, seramai 20 petugas iaitu 14 anak kapal, empat anggota KKM dan masing-masing seorang anggota dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Kementerian Luar Negeri (KLN) juga menyertai penerbangan ini.

Artikel Berkaitan:

"Mereka mengenakan kelengkapan PPE (Personal Protection Equipment) penuh.

"Sebaik sahaja mendarat di KLIA, penumpang-penumpang ini dibawa melalui laluan khas ke Air Disaster Unit (ADU) KLIA untuk menjalani saringan kesihatan.

"Didapati tiada penumpang yang mengalami gejala, namun mereka telah diambil swab untuk ujian pengesanan RT-PCR Covid-19.

"Keputusan ujian yang diperoleh pada 13 Mei lalu menunjukkan tujuh dari 132 penumpang dikesan positif Covid-19 dengan kadar positiviti 5.3 peratus.

"Mengambil kira keputusan di atas dan penilaian risiko yang dijalankan, maka KKM memutuskan untuk melanjutkan tempoh kuarantin wajib bagi penumpang berkenaan," katanya.

Beliau menambah, sekatan sedia ada bagi penumpang Bukan Warganegara ke Malaysia dari India masih berkuatkuasa seperti biasa.

"Semua rakyat Malaysia dinasihatkan untuk memberi kerjasama dalam mengekang kemasukan varian baharu dari India, iaitu varian B.1.617.

"Varian ini dilaporkan lebih cepat menular dan menyebabkan gejala yang lebih serius termasuk dalam kalangan yang berusia di bawah 50 tahun," katanya.