X

Kindly register in order to view this article
!

MyAqsaDefenders sasar RM10 juta bantu rakyat Palestin

A
A

SHAH ALAM - Gabungan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai MyAqsaDefenders menyasarkan kutipan dana sebanyak RM10 juta bagi membantu rakyat Palestin yang menjadi mangsa kezaliman regim Zionis Israel.

MyAqsaDefenders dalam satu kenyataan berkata, sebanyak RM2 juta berjaya dikumpulkan oleh badan-badan gabungan NGO terlibat dan kini pihaknya sedang giat berusaha untuk mencukupkan dana sasaran.

“Daripada jumlah RM2 juta itu, sebanyak RM1 juta sudah disalurkan bagi memenuhi keperluan membaik pulih Klinik Al-Aqsa yang terjejas di samping memastikan stok ubat dan keperluan rawatan kecemasan sentiasa tersedia termasuk alatan seperti ventilator bergerak.

“Sebahagian daripadanya juga telah dimanfaatkan untuk bantuan kewangan segera kepada murabitin Al-Quds, bayaran kos guaman mereka yang telah ditangkap sama ada di dalam insiden Al-Aqsa atau Perkampungan Syeikh al-Jarrah serta kafalah sara hidup penduduk Kota Lama Al-Quds,” kata kenyataan pada Jumaat.

Tambah kenyataan itu, baki daripada RM2 juta yang diterima pula telah diperuntukkan bagi bantuan membaik pulih infrastruktur dan rumah penduduk di Kota Lama Al-Quds dalam usaha untuk memastikan mereka terus bertahan serta mengekalkan demografi rakyat Palestin di kawasan tersebut.

Selain usaha mengumpulkan dana bantuan, katanya, MyAqsaDefenders turut melancarkan kempen serangan siber dengan meminta rakyat Malaysia menularkan hantaran di laman sosial bersama hashtag #ShameOnIsrael dan #IsraelKoyak.

Jelas kenyataan itu, ia bertujuan untuk mengutuk tindakan Israel ke atas penduduk Palestin dan Masjid al-Aqsa.

Katanya, langkah itu memberi impak kepada Israel di Facebook, Instagram dan Twitter, malah carian maksud perkataan ‘koyak’ turut meningkat di laman sesawang.

“MyAqsaDefenders menggesa masyarakat Malaysia untuk melihat isu Palestin ini diangkat bukan semata-mata berkaitan hal keagamaan, malah persoalan ketidakadilan, pencabulan hak asasi manusia dan krisis kemanusiaan sejagat.

“Justeru kami menyeru seluruh rakyat Malaysia dengan kepelbagaian latar agama dan kaum untuk bersuara serta menyokong perjuangan Palestin dalam menuntut dan mempertahankan hak mereka yang dirompak sejak tujuh dekad lalu," katanya.

MyAqsaDefenders yang dirintis anak-anak muda terdiri daripada gabungan aktivis kemanusiaan yang sudah lama berkecimpung dalam usaha membantu Palestin.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!