X

Kindly register in order to view this article
!

CBP AS rampas penghantaran Top Glove RM2.85 juta

A
A

KUALA LUMPUR - Pegawai Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) di Pelabuhan Kansas City, Missouri merampas 4.68 juta sarung tangan getah yang dibuat oleh anak syarikat Top Glove Corporation Bhd.

CBP berkata anggaran nilai penghantaran itu sebanyak US$690,000 (RM2.85 juta).

"Pegawai CBP merampas penghantaran itu berikutan maklumat menunjukkan bahawa sarung tangan tersebut telah dibuat oleh buruh paksa,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pengarah Pelabuhan Kansas City Steven Ellis berkata berdasarkan rampasan itu dibuat di kawasan tengah Amerika, ia menunjukkan import yang didakwa dihasilkan oleh buruh paksa memberi kesan kepada semua orang di seluruh negara.

"CBP tidak akan bertolak ansur dengan buruh paksa dalam rantaian bekalan AS,” katanya.

Pada 29 Mac lepas, CBP berkata pihaknya telah mengarahkan kakitangan di semua pelabuhan masuk di AS untuk mula merampas sarung tangan pakai buang yang dihasilkan di Malaysia oleh Top Glove.

"Penghantaran di Kansas City dirampas selepas pemeriksaan oleh pegawai CBP menunjukkan sarung tangan itu telah dihasilkan di Malaysia oleh sebuah anak syarikat Top Glove,” katanya.

Pada 29 Mac lepas, CBP telah mengeluarkan dapatan mengenai buruh paksa berdasarkan bukti yang didakwa mempunyai banyak petunjuk buruh paksa dalam proses pengeluaran Top Glove, termasuk ikatan hutang, kerja lebih masa yang melampau, melanggar syarat persekitaran tempat kerja dan tempat tinggal serta penahanan dokumen pengenalan diri. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!