Cubaan masuk ke taman rekreasi untuk bergambar raya gagal

Pengunjung mengambil kesempatan bergambar dengan pakaian Aidilfitri di luar pagar Taman Tasik Titiwangsa
Pengunjung mengambil kesempatan bergambar dengan pakaian Aidilfitri di luar pagar Taman Tasik Titiwangsa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Meskipun 1 Syawal disambut dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), masih ada masyarakat yang gagal mematuhi arahan untuk kekal di rumah sebaliknya menjadikan beberapa kawasan tumpuan di ibu negara sebagai tempat bergambar bersama ahlu keluarga.

Tinjauan Sinar Harian selama dua jam pagi tadi mendapati kawasan Taman Tasik Titiwangsa antara yang menjadi tumpuan orang ramai.

Meskipun taman-taman rekreasi dibuka, ia hanyalah dibenarkan untuk aktiviti sukan secara berseorangan.

Oleh sebab itu, cubaan beberapa keluarga yang datang lengkap dengan pakaian hari raya untuk memasuki kawasan taman gagal setelah dihalang oleh petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang membuat pemantauan.

Rata-rata kemudiannya hanya mengambil gambar di sekitar kawasan diluar pagar taman tersebut.

Pada masa sama, khidmat sewaan basikal untuk tujuan riadah turut didapati beroperasi membuatkan ada pengunjung mengambil kesempatan menggunakan khidmat tersebut meskipun dengan berpakaian baju melayu.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di sekitar Dataran Merdeka juga mendapati kawasan itu turut menjadi tumpuan orang ramai yang mahu bergambar.

Artikel Berkaitan:

Pengunjung yang datang bukan untuk tujuan bersukan tidak dibenarkan memasuki kawasan dalam Taman Tasik Titiwangsa
Pengunjung yang datang bukan untuk tujuan bersukan tidak dibenarkan memasuki kawasan dalam Taman Tasik Titiwangsa

Ketika tinjauan dibuat, terdapat polis peronda yang turut memberikan amaran kepada pengunjung supaya beredar dan mengalihkan kenderaan yang diletakkan di sepanjang bahu jalan.

Tinjauan di beberapa jalan utama antaranya Jalan Tun Razak, Jalan Bukit Bintang, Jalan Tunku Abdul Rahman turut mendapati laluan trafik lancar dan jumlah kenderaan yang ada dijalan amat sedikit.

Malaysia sekali lagi melaksanakan PKP di seluruh negara bermula 12 Mei hingga 7 Jun ini sebagai usaha untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang dilihat meningkat dan membimbangkan.

Dengan jumlah kes harian melebihi 4,000 kes dan 1761 kes kematian dilaporkan setakat 12 Mei 2021, Malaysia sedang berhadapan dengan gelombang ketiga Covid-19 yang boleh mencetuskan suatu krisis nasional.

Bahkan pada Rabu, sebanyak 39 kematian direkodkan menjadikan angka tertinggi dicatatkan sepanjang pandemik Covid-19 melanda negara.

Dalam tempoh Aidilfitri, kerajaan menetapkan ziarah rumah ke rumah dan ziarah kubur semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah tidak dibenarkan.

Selain itu, larangan rentas daerah dan rentas negeri juga dilaksanakan kecuali untuk tujuan kecemasan, kesihatan, bekerja, ekonomi, temu janji vaksinasi dan pasangan jarak jauh.