X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 27 November 2021

Raya PKP pipit, enggang biarlah sama

A
A
LAGU raya yang saya paling suka sejak waktu remaja lagi ialah 'Seloka Hari Raya' oleh Uji Rashid dan Hail Amir. Yang paling menarik hati saya ialah dua perangkap terakhir yang mengulangi dua hajat yang mudah tetapi cukup bermakna: “Miskin dan kaya sama sahaja, Hulurkan tangan berjabat mesra” dan “Saling bermaaf kita bersama, Lupakan saja sengketa lama”.

Sememangnya masyarakat manusia tidak mungkin mencapai kesamarataan dalam kekayaan atau menghapuskan persengketaan antara manusia.

Akan tetapi, perbezaan kekayaan itu tidak haruslah menjadi jurang yang memisahkan kita sampai yang lebih rezeki menghina yang kurang rezeki, ataupun yang kurang rezeki mendengki yang lebih rezeki. Juga, sekalipun ada sengketa lama, kita ada pilihan untuk meninggalkan cerita silam demi masa depan.

Di sini, pesanan agama-agama tentang kesingkatan dan ketidaktentuan hidup tepat sekali untuk mengingati bahawa segala harta-benda yang kita kumpul dan segala kemenangan yang kita capai itu tidak akan kekal selama-lamanya.

Apa maknanya kita sakiti orang lain demi memenuhi ketamakan dan keangkuhan yang mungkin menjadi kosong pada saat nafas kita tidak bersambung?

Lain daripada ucapan raya lain yang memohon kegembiraan atau kemakmuran, 'maaf zahir batin' itu mengundang kita untuk memulihkan hubungan silaturahim antara insan dan mencari keamanan (salam).

Pencerahan oleh kakanda saya, Dr Dzul, selalu bermain dalam minda saya: manusia dicipta daripada seorang lelaki dan perempuan, maka kita semua adalah saudara dalam kemanusiaan (ukhwah insaniah); kita dicipta dalam bangsa dan kaum yang berlain-lain supaya kita saling mengenali sesama lain, maka kemudian kita yang berkongsi sebuah tanah air itu saudara dalam negara-bangsa (ukhwah wataniah); akhirnya, barulah sampai perbezaan keagamaan yang menjadikan kita ada yang saudara dalam iman (ukhwah imaniah) dan ada yang bukan.

Raya tahun ini dan tahun lepas beza sekali lagi daripada tahun-tahun sebelumnya kerana menularnya wabak Covid-19 dan perlunya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. Maka, tradisi 'balik kampung' cuma boleh dimain sebagai irama dan nyanyian Allahyarham Sudirman Arshad dan tidak boleh diamalkan merentasi negeri malah daerah.

Saya bersimpati dengan semua rakan yang diseksa rindu kepada orang tua dan sanak-saudara, dan juga usahawan-usahawan yang terpaksa membatalkan perniagaan kerana penutupan pasar dan gedung beli-belah.

Ini adalah pengorbanan murni yang perlu untuk mengelakkan keadaan di India di mana virus Covid-19 melipat

gandakan angka mangsa maut selepas perayaan agama dan kempen pilihan raya. Semoga semua pengorbanan dibalas nanti.

Akan tetapi, tidak bolehkah keputusan kerajaan dibuat lebih bijaksana, konsisten dan tidak klok klek? Sememangnya dasar dan perintah mana-mana kerajaan dalam wabak senang mengundang kemarahan, tetapi kalau keputusan dibuat dengan mendengari dan menglibatkan semua pihak, maka tiada pihak boleh mengutuk kerajaan semata-mata kerana tidak terdengar dan terlibat.

Lebih menyakiti hati rakyat ialah fenomena 'dua darjat' dalam pelaksanaan PKP, PKPD, PKPB dan PKPP, di mana rakyat marhean disaman RM50,000 manakala golongan kayangan disaman RM1,000, RM3,000 ataupun langsung tidak disiasat.

Apabila pipit terkurung di bumi sedangkan helang bebas terbang di kayangan, bagaimana raya PKP membawa senyuman?

Rakyat Malaysia berhak menyambut raya sedarjat – kalau terkurung, biar pipit, enggang, dan helang semua terkurung; kalau diwajibkan pelitup, pastikan pipit, enggang dan helang semua pakai. Jangan biar undang-undang di bumi terbatal bila dekat ke kayangan.

Marilah semua pihak lupakan sengketa lama, bukakanlah Parlimen sebelum dindingnya berkulat, kembalikanlah suara wakil rakyat, dan tutupkanlah jurang antara bumi dan kayangan. Semoga 'Seloka Hari Raya' memberi semangat kepada semua pipit di Malaysia seperti saya.

Pipit, helang, semua berhajat

Kebebasan terbang biar sama rata

Selamat Hari Raya Sedarjat

Tiada dengki tiada sengketa

* Prof Wong Chin Huat ([email protected]) seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!