X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 08 Disember 2021

PdPR: Guru gigih guna media sosial tarik minat pelajar

Guru Bahasa Melayu Pusat Tuisyen Math Clinics, Saliza Ibrahim, 34, tidak ketinggalan untuk menggunakan Instagram dan Twitter untuk mengadaptasikan pengajarannya secara kreatif kepada pelajar-pelajarnya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Beliau yang mesra dipanggil 'Cikgu Zack' berkata sebagai seorang tenaga pengajar, sudah menjadi amalan untuk berkongsi ilmu kepada sesiapa sahaja di mana-mana sama ada menerusi media sosial ataupun bersemuka dengan pelajar-pelajar. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Apabila mencapai sahaja telefon pintar, pastinya TikTok, YouTube, Instagram, Twitter dan Facebook menjadi aplikasi wajib dilayari yang membuatkan gajet itu tidak lekang daripada tangan setiap hari.

Bagi sesetengah pengguna, aplikasi berkenaan seolah-olah 'dunia' bagi mereka, lebih-lebih lagi Generasi Z (mereka yang dilahirkan pasca milenia, pertengahan 1990an -2000), untuk mencurahkan idea dan kreativiti mereka, selain membaca berita dan maklumat terkini tanpa sempadan.

Tidak kurang juga ada dalam kalangan ibu bapa dan guru berasa risau terhadap kelekaan generasi ini yang terlalu banyak menghabiskan masa melayari media sosial setiap hari sehinggakan mengabaikan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Sebagai langkah mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan ketika PdPR, para guru juga terpaksa menyesuaikan teknik pengajaran sesuai dengan cita rasa generasi muda.

Sebagai contoh, guru Bahasa Melayu Pusat Tuisyen Math Clinics, Saliza Ibrahim, 34, tidak ketinggalan untuk menggunakan Instagram dan Twitter untuk mengadaptasikan pengajarannya secara kreatif kepada pelajar-pelajarnya ketika PKP.

Mesra dipanggil 'Cikgu Zack', beliau memberitahu, sebagai tenaga pengajar, sudah menjadi amalan untuk beliau berkongsi ilmu dengan sesiapa sahaja, sama ada menerusi media sosial ataupun bersemuka dengan pelajar.

"Disebabkan PKP, saya mula mencari satu medium untuk kekal memberikan ilmu kerana sudah terbiasa mengajar dan memang suka mengajar. Jadi saya memulakan idea untuk berkongsi tip-tip Bahasa Melayu mudah menerusi media sosial.

"Tambahan pula, tempat kerja saya sudah mula memperkenalkan pembelajaran secara dalam talian ketika PKP dan telah membiasakan diri dengan kaedah pengajaran itu. Rasa sangat bersyukur kerana sambutannya amat menggalakkan," katanya yang sudah berkhidmat selama lapan tahun dengan Pusat Tuisyen Math Clinics.

Betulkan sebutan menerusi Instagram

Pemilik nama Instagram dan Twitter 'Zack Kirana' itu dilihat sering berkongsi video untuk membetulkan sebutan perkataan dalam bahasa Melayu selain tip menguasai bahasa Melayu dengan betul.

Saliza juga sering muncul di kaca televisyen dan menjadi penceramah dalam seminar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk subjek Bahasa Melayu.

Menerusi video yang dimuat naik itu, terserlah sifat serta peribadi Cikgu Zack ketika menyantuni soalan yang dikemukakan, sekali-kala diselitkan dengan kata-kata lucu dan berlawak jenaka, selain turut berkongsi mengenai perjalanan kehidupannya sebagai seorang guru.

Berkongsi tentang teknik pengajaran dalam media sosial, Saliza lebih suka melakukannya secara spontan dan dalam bentuk penerangan santai supaya pelajar mudah faham.

"Kaedah ini ialah pembuka kepada minat pelajar kerana media sosial merupakan medium yang paling dekat dengan jiwa mereka dan ia juga dapat memupuk minat mereka terhadap pelajaran.

"Ia sebenarnya lebih santai tetapi diakui, belum cukup padat untuk membantu pelajar bersiap-sedia menghadapi peperiksaan dan ulang kaji serta disiplin terhadap PdPR dengan guru sekolah juga sangat penting," katanya yang berasal dari Terengganu.

Beliau menambah, perkembangan pesat teknologi mendorong guru seperti diri beliau untuk menjadi lebih kreatif dan inovatif dalam PdPR agar teknik serta pendekatan dalam mengajar tidak dianggap ketinggalan zaman.

"Bagi guru yang ingin memulakan langkah pengajaran menerusi media sosial, rancangan kandungan penyampaian dan pastikan ia tepat serta elakkan daripada menyentuh perkara yang sensitif.

"Untuk PdPR pula, guru harus mewujudkan komunikasi dua hala ketika dalam kelas bersama dengan pelajar supaya mereka tidak berasa ada jurang perbezaan yang terlalu ketara antara corak pembelajaran di sekolah dengan PdPR," katanya.

Guna YouTube untuk pengajaran PdPR

Guru Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Heng Ee, Pulau Pinang, Ng Kim Tee (she), memanfaatkan platform YouTube untuk memuat naik video pengajarannya bagi memenuhi keperluan PdPR sepanjang PKP.

Beliau yang menggunakan nama 'Çikgu Ng’ mempunyai pengalaman mengajar selama 28 tahun dalam Pengajian Perniagaan, Matematik dan Geografi

Namun pengalaman itu belum cukup untuk membolehkan beliau menghasilkan video yang menarik untuk tujuan PdPR, sehinggalah beliau menyertai Akademi YouTuber (AYU) sejak November tahun 2020.

AYU adalah pusat tuisyen maya percuma yang ditubuhkan oleh E-Didik Malaysia bersama Kelab Guru Malaysia pada Julai 2020 dalam merealisasikan guru di seluruh negara sebagai YouTuber Pendidikan.

Dalam tempoh sembilan bulan sejak penubuhannya, ia mempunyai sekitar 10,000 orang ahli yang terdiri daripada guru pelbagai subjek di seluruh Malaysia.

"Sewaktu tempoh PKP, saya banyak menggunakan video YouTube untuk PdPR dan Google classroom, jadi saya fikir mengapa saya tak hasilkan video saya sendiri, tentunya lebih baik untuk saya.

"AYU banyak membantu kami para guru untuk belajar menghasilkan video PdPR. Mereka mempunyai pasukan mentor yang hebat, yang bersedia berkongsi ilmu untuk kami mengeluarkan video kami sendiri, " katanya.

Menurut Ng, perkara paling mencabar bagi beliau adalah peruntukan masa kerana pada waktu siang, beliau perlu mengajar di kelas secara maya dan menghadiri tutorial AYU pula pada sebelah malam.

"Dalam AYU, kami merupakan guru sukarelawan yang diberi tempoh tertentu untuk menghasilkan video PdPR menggunakan segala ilmu yang ada dan pembahagian masa itu adalah sangat penting.

"Ada satu ketika, saya hampir berputus asa namun teruskan juga usaha untuk menghasilkan video saya sendiri. Saya terpaksa mencari masa untuk merakam video selepas selesai mengajar dan menonton video daripada guru lain bagi mendapatkan panduan.

"Saya cuba memastikan video saya padat dengan apa yang nak disampaikan dan tidak terlalu panjang. Saya juga turut memasukkan elemen berinteraksi dan mengadakan kuiz mini untuk menarik perhatian pelajar," katanya.

Ng berkata, beliau sering menggunakan video YouTube dalam PdPR kerana ada dalam kalangan pelajarnya menghadapi masalah internet di rumah menyebabkan mereka perlu memainkan semula video yang dgunakan ketika mengulangkaji pelajaran selepas kelas.

"Saya menggalakkan pelajar saya supaya 'save' terlebih dahulu supaya apabila internet mereka bermasalah, mereka boleh menonton kembali video pengajaran saya bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran," katanya.

Usaha Ng dalam menghasilkan video pengajaran menerusi YouTube mendapat sambutan yang menggalakkan sama ada dalam kalangan pelajarnya sendiri ataupun pengikutnya dari sekolah lain.

"Saya berasa sangat puas dan gembira kerana segala penat lelah saya untuk menghasilkan video pengajaran mendapat tanda 'like'. Bagi saya, menghasilkan sebuah video berdurasi lima minit adalah tidak mudah dan saya mengharapkan agar ilmu yang disampaikan itu dapat dimanfaatkan oleh pelajar saya," katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!