X

Kindly register in order to view this article
!

[DIKEMAS KINI] DOJ deposit RM1.9 bilion dana berkait 1MDB

Tengku Zafrul
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) telah mendepositkan sebanyak RM1.9 bilion ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset yang berada di bawah seliaan Akauntan Negara.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, wang tersebut merupakan sebahagian daripada dana berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang telah disita.

Katanya, perkembangan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan dana berkaitan 1MDB dan SRC yang disita dan dipulangkan setakat ini ke dalam Akaun Amanah sebanyak RM16.05 bilion.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, kerajaan telah melunaskan sebanyak RM12.4 bilion hutang 1MDB dan RM3.1 bilion hutang SRC International Sdn Bhd (SRC).

“Baki semasa Akaun Amanah hanya cukup untuk melunaskan prinsipal dan faedah hutang 1MDB untuk tahun 2021 dan 2022 sahaja.

“Baki ini tidak termasuk jumlah penyelesaian sebanyak RM2.83 bilion yang akan diterima dari Kumpulan Ambank dan RM336 juta dari Deloitte PLT1. Di samping itu, rundingan juga sedang dijalankan dengan KPMG.

“Setelah semua dana Akaun Amanah digunakan, kerajaan tetap perlu menanggung obligasi bayaran baki hutang 1MDB memandangkan hutang tersebut adalah disokong oleh kerajaan melalui Jaminan Kerajaan dan Surat Sokongan semasa hutang-hutang ini diterbitkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tengku Zafrul turut melahirkan penghargaan kepada kerajaan Amerika Syarikat khususnya DOJ atas kerjasama dan bantuan yang diberikan dalam menguruskan kes berkenaan.

Pada masa sama, beliau memaklumkan bahawa baki hutang yang merangkumi prinsipal dan kupon, keuntungan, faedah bagi bon, sukuk serta pinjaman berjangka adalah sebanyak RM39.8 bilion bagi 1MDB manakala untuk SRC pula adalah sebanyak RM2.57 bilion.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!