X

Kindly register in order to view this article
!

28 sektor penguatkuasaan polis di lebuh raya sepanjang Op Rentas

Mohd Nadzri menunjukkan teknologi iCops yang dipasang di sebuah kereta polis pada sidang akhbar pada Op Rentas dan Pelancaran Alat Bantuan Teknik JSPT In Car Radar dan iCops di Hentian Rehat dan Rawat Seremban Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) pada Selasa.
A
A

SEREMBAN - Sebanyak 28 sektor penguatkuasaan polis akan dilaksanakan di kawasan lebuh raya di seluruh negara sepanjang Op Rentas yang bermula 10 Mei hingga 16 Mei ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, ia melibatkan pelaksanaan sekatan jalan raya (SJR) secara 'mobile' tetapi berkala melibatkan lima zon.

"Kita tak buat secara statik seperti yang dilaksanakan kontinjen, tetapi secara 'mobile' pada waktu tertentu dengan memfokuskan kawasan yang mungkin menjadi laluan untuk orang lari daripada sekatan polis.

"Contohnya jika sekarang di zon selatan kita buat SJR di sebelah Seremban dan di sebelah petang pula kita akan buat di sebelah Muar, Johor. Begitu juga di zon-zon lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pada Op Rentas dan Pelancaran Alat Bantuan Teknik JSPT In Car Radar dan iCops di Hentian Rehat dan Rawat Seremban Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), di sini pada Selasa.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya jangan cuba-cuba 'curi' merentas negeri kerana mereka pasti akan terperangkap.

Ujarnya, mungkin ada yang terlepas pada pemeriksaan SJR yang didirikan di tol-tol, tetapi mereka tidak akan terlepas di lebuh raya.

Mohd Nadzri membuat pemeriksaan surat rentas negeri pengguna jalan raya yang melalui Lebuh Raya PLUS di Seremban pada Selasa.
Mohd Nadzri membuat pemeriksaan surat rentas negeri pengguna jalan raya yang melalui Lebuh Raya PLUS di Seremban pada Selasa.

Ditanya berkenaan rungutan orang ramai terhadap kesesakan teruk di sesetengah SJR sehingga menyusahkan mereka, Mohd Nadzri berkata, ia tidak dapat dielakkan kerana pemeriksaan surat kebenaran merentas dibuat secara lebih teliti.

"Ini kerana sebelum ini kita dapati berlaku banyak penipuan yang mana ada yang buat salinan dan meniru surat orang lain untuk rentas negeri.

"Kita juga masih mengesan ada yang cuba merentas negeri untuk pulang berhari raya. Kalau semua patuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan, saya rasa tiada masalah," katanya.

Namun, beliau menjangkakan keadaan trafik pada hari pertama Aidilfitri nanti terkawal kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

Dalam pada itu katanya, sebanyak 28,919 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan sepanjang pra Op Rentas yang bermula pada 3 Mei hingga 9 Mei lalu.

"Daripada jumlah itu, hanya empat saman berkaitan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Op Covid-19 dan satu individu ditahan.

"Ia melibatkan pemeriksaan sebanyak 21,977 buah kenderaan yang mana Selangor negeri paling banyak keluarkan saman iaitu 6,854 diikuti Johor 3,681 dan Pahang 3,212," katanya.

Mengulas mengenai alat In Car Radar, Mohd Nadzri berkata, ia adalah kamera yang dipasang dalam kenderaan bagi mengesan had laju kenderaan bergerak manakala iCops ialah kamera mengimbas nombor pendaftaran kenderaan.

Ends..


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!