Suu Kyi akan tampil pertama kali di mahkamah pada 24 Mei

Aung San Suu Kyi
Aung San Suu Kyi
A
A
A

BANGKOK - Pemimpin Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi akan muncul buat kali pertama sejak rampasan kuasa tentera di mahkamah khas di Naypyitaw pada 24 Mei, lapor Sputnik memetik laporan wadah berita pembangkang Irrawaddy pada Isnin.

Semua perbicaraan mahkamah kes Aung San Suu Kyi sebelum ini termasuk pada Isnin diadakan secara sidang video.

Menurut laporan itu, perbicaraan berikutnya akan diadakan di mahkamah daerah Zayar Theikdi Ward, berdekatan kediaman kaunselor negara yang digulingkan itu di Naypyitaw.

Semasa perbicaraan pada Isnin, Aung San Suu Kyi sekali lagi menuntut pertemuan peribadi dengan peguamnya yang belum pernah ditemuinya untuk berbincang mengenai pembelaan, kata media tersebut.

Ikon demokrasi Myanmar itu ditahan bersama beberapa pegawai tinggi lain pada 1 Februari ketika rampasan kuasa tentera yang menuduh partinya terlibat penipuan dalam pilihan raya November.

Sebilangan besar mereka yang ditahan telah dibebaskan kecuali Aung San Suu Kyi, Presiden Win Myint dan beberapa pemimpin kanan parti yang dikenakan tahanan rumah.

Aung San Suu Kyi pada awalnya dituduh mengimport walkie-talkie secara tidak sah dan melanggar undang-undang bencana alam dengan mengadakan kempen menjelang pilihan raya November, melanggar sekatan pergerakan Covid-19.

Tentera kemudiannya menuduh Aung San Suu Kyi melanggar undang-undang mengenai rahsia negara, yang boleh dihukum penjara hingga 14 tahun. - Bernama

Artikel Berkaitan: