MFL pandang serius tindakan baling suar di Stadium Perak

Aksi Liga Super antara Perak FC dan Sri Pahang FC dicemari dengan balingan suar oleh penyokong di Stadium Perak pada Ahad. - Foto Bernama
Aksi Liga Super antara Perak FC dan Sri Pahang FC dicemari dengan balingan suar oleh penyokong di Stadium Perak pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) memandang serius tindakan membaling suar ke dalam padang dalam aksi Liga Super membabitkan Perak FC dan Sri Pahang FC di Stadium Perak, Ipoh pada Ahad.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, perbuatan dilakukan segelintir penyokong itu merupakan kesalahan serius, dan sebagai pasukan tuan rumah Perak FC boleh dikenakan hukuman.

Beliau berkata, suar termasuk dalam senarai barang larangan dibawa masuk ke stadium, justeru beliau kesal kejadian tersebut tetap berlaku tatkala kelonggaran menonton perlawanan di stadium dalam tempoh pandemik Covid-19 diberikan.

“Ia satu kesalahan serius, saya sedang menunggu laporan daripada persuruhjaya perlawanan dan daripada laporan itu, MFL akan bertindak mengikut manual dan perundangan Liga-M (Liga Malaysia),” katanya ketika ditemui pemberita pada Isnin.

Ab Ghani mengakui, kejadian membaling suar oleh penonton sudah lama tidak berlaku membabitkan saingan Liga-M, dan berharap penyokong dapat mengawal emosi dengan baik bagi memelihara keharmonian sepanjang perlawanan.

Pada aksi tersebut, ketidakpuasan hati penyokong terhadap beberapa isu menyelubungi Perak FC ketika ini menyaksikan, suar dibakar dan dibaling ke kawasan padang, sekali gus memaksa perlawanan yang memasuki masa kecederaan separuh masa kedua dihentikan seketika.

“Mungkin disebabkan kekecewaan dalam kalangan penyokong Perak FC, tetapi jangan diluah di dalam stadium sebab yang akan menerima padahnya pasukan itu sendiri. MFL memandang serius perkara ini,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, MFL juga sedang menyiasat punca utama tiga pemain Kelantan FC yang disahkan positif Covid-19 sebelum aksi menentang Selangor FC 2 minggu lepas.

Artikel Berkaitan:

Ab Ghani tidak menolak kemungkinan Kelantan FC berdepan hukuman tegas, sekiranya didapati cuai dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Gelembung Sukan ditetapkan kerajaan.

“Jika mereka dijangkiti ketika dalam gelembung sukan maka tiada tindakan akan diambil, tetapi sekiranya pemain sengaja keluar atau sebagainya tanpa mengikut SOP, maka tindakan akan diambil,” jelasnya.