Pas hanya sokong Tun M sebagai Perdana Menteri

Datuk Mohd Amar Abdullah
A
A

KOTA BHARU - Pas hanya menyatakan kesetiaan bersama kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, bukan mahu mengadakan kerjasama politik dengan Bersatu.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, sokongan kepada Dr Mahathir adalah sebagai Perdana Menteri, jika benar wujud usaha menggulingkan beliau sebagai ketua negara.

"Jadi kita beri jaminan kepadanya bahawa 18 Ahli Parlimen Pas ini Insya-ALLAH akan beri sokongan kepadanya atas dasar menjaga kepentingan agama, bangsa dan negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Langkah Pas untuk halang DAP: Nik Abduh

"Dari segi partinya, antara Pas dan Bersatu tidak wujud pun kerjasama. Jika tiada apa-apa (usaha guling pemimpin), maka tiada apa-apalah. Walaupun 18 ini mungkin tidak cukup, sekurang-kurangnya kita membantu," katanya kepada media di pejabatnya di sini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan beberapa kepimpinan Pas yang membayangkan kerjasama parti itu dengan Bersatu selepas wujudnya desas desus mengatakan parti komponen PH sedang berusaha membuat undi tidak percaya kepada Tun Mahathir.

Mohd Amar berkata, menurut pengetahuannya, tidak wujud paksaan daripada kedua-dua pihak semasa Pas menyatakan sokongan tersebut dan ia dilakukan atas dasar keadaan politik semasa.

Mengulas lanjut mengenai isu guling perdana menteri, Mohd Amar memberitahu, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku dan memperlihatkan politik dan demokrasi yang tidak sihat.

"Kita rasa perkara ini satu benda yang tidak patut berlaku sebab Tun Mahathir pun tidak sampai setahun pegang perdana menteri. Sebab itu Pas buat keputusan pertahan beliau. Melibatkan janji beliau dengan PH untuk dua tahun dan sebagainya, itu bukan hal kami," katanya.