X

Kindly register in order to view this article
!

'PDRM bukan milik lelaki'

Lee Bee Phang
A
A

[WAWANCARA] Siapa sangka, Datuk Dr Lee Bee Phang ialah wanita keturunan Cina pertama dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menerima pangkat komisioner (CP). CP adalah pangkat ketiga paling tinggi dalam PDRM selepas Timbalan Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Negara.

Bukan itu sahaja, beliau juga kini menyandang jawatan penting dalam pasukan sebagai Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Penyelidikan dan Pembangunan) sejak Mac lalu.

Ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Ahad, Muhammad Afham Ramli bersama Bee Phang di Bukit Aman, Kuala Lumpur baru-baru ini.

SINAR AHAD: Boleh ceritakan serba sedikit latar belakang Datuk?

DR BEE PHANG: Saya ialah lulusan Universiti Sains Malaysia dengan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial pada tahun 1986. Sepanjang tempoh menuntut di universiti, saya telah menyertai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan atau Palapes dengan pangkat leftenan muda.

Selepas graduasi, saya mengambil peluang menyertai temu duga pasukan polis sebagai kadet asisten superintendan atau ASP dan berjaya diserap masuk pada tahun 1987 pada usia 26 tahun.

Selepas tamat kursus latihan kepolisan, saya ditugaskan di Ibu Pejabat Polis Daerah Georgetown sebagai pegawai penyiasat di Bahagian Siasatan Jenayah selama setahun sebelum diserap ke Cawangan Khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang.

Kemudian, selepas kenaikan pangkat deputi superintendan atau DSP, saya ditugaskan di Cawangan Khas Bukit Aman sehingga pangkat asisten komisioner (ACP). Selepas kenaikan pangkat senior asisten komisioner (SAC) dan deputi komisioner (DCP), saya dipinjamkan untuk ditugaskan di Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membantu KDN menggubal dasar mengenai keselamatan berdasarkan kepakaran dan latar belakang pendidikan saya.

Selepas itu, pada tahun 2018 saya ditukarkan kembali ke Bukit Aman sebagai Timbalan Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) dengan meneruskan pangkat DCP. Sehingga sekarang, saya sudah berkhidmat selama 34 tahun dalam pasukan PDRM.

Apa yang Datuk boleh katakan tentang kejayaan kerjaya Datuk sebagai wanita tunggal berpangkat komisioner polis sekarang?

Dengan usia PDRM yang mencecah 214 tahun, sememangnya pasukan polis sudah mempunyai pegawai CP wanita pertama iaitu CP (Bersara) Datuk Robiah Abdul Ghani pada tahun 2010 dengan menjawat jawatan Pengarah Pengurusan ketika itu.

Kemudian diikuti CP (Bersara) Datuk Zubaidah Md Ismail, CP (Bersara) Datuk Zaleha Abdul Rahman dan CP (Bersara) Datuk Seri Fatimah Ghazali.

Pada Mac 2021 saya diberi kepercayaan oleh Ketua Polis Negara pada masa itu, Tan Sri Abdul Hamid Bador, Timbalan KPN (kini KPN), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani serta pucuk pimpinan PDRM untuk menerajui Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Penyelidikan dan Pembangunan).

Saya menjadi pegawai wanita kaum Cina pertama dilantik ke pangkat DCP pada Mei 2015 dan CP pada 12 Mac lalu. Saya kini pegawai polis wanita tunggal yang menjawat pangkat CP dalam PDRM.

Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang menyumbang kepada kejayaan saya hari ini.

Semasa di universiti pada 1986, saya diberi peluang menganggotai Palapes dan belajar berdikari, berdisiplin dan bergaul dengan semua kaum selain didedahkan dengan banyak perkara.

Pendedahan di Palapes amat membantu saya membiasakan diri dengan kehidupan berdisiplin dan uniform. Apabila adanya tawaran kerjaya dalam PDRM, saya anggap ia sebagai peluang keemasan untuk memulakan perkhidmatan.Saya menganggap bidang kepolisan lebih mendekati masyarakat dan saya pula gemar bergaul dengan orang ramai. Itu antara tarikan untuk saya sertai PDRM.

Saya selalu ‘self motivated’ untuk majukan diri kerana kerjaya polis adalah pilihan pertama dan terakhir saya.

Datuk pernah memberitahu bahawa ibu Datuk tidak menyokong pembabitan Datuk dalam PDRM. Boleh jelaskan mengapa?

Waktu dahulu, kebiasaan dalam budaya kaum Cina, mereka tidak menggalakkan anak lelaki menyertai tentera dan polis apatah lagi anak perempuan. Mungkin mereka menganggap kerjaya polis dan tentera adalah berbahaya dan berisiko tinggi.

Selain itu, ibu saya amat khuatir dengan saya ketika itu. Badan saya kurus dan tidak kelihatan kuat. Jadi, dalam keadaan itu, ibu amat risau memikirkan bagaimana saya hendak memikul tanggungjawab dalam bidang kepolisan. Namun, saya bersyukur kerana ibu akhirnya menyokong kerjaya saya.

Sudah tentu ibu saya akan gembira jika dia masih ada dan melihat kejayaan anaknya hari ini. Ibu meninggal dunia selepas kira-kira 11 tahun saya berkhidmat dalam PDRM. Saya berjaya buktikan kepadanya apa yang saya lakukan ini adalah kerjaya yang murni. Saya juga cuba untuk mengubah pandangan orang dahulu.

Bagaimana Datuk melihat pembabitan kaum lain dalam PDRM?

Saya amat menggalakkan kaum lain seperti Cina, India dan lain-lain untuk menyertai badan uniform seperti polis. Mungkin kaum Cina terutamanya ada persepsi terhadap polis tentang peluang kenaikan pangkat dan kebajikan. Saya harap kejayaan saya ini boleh mengubah persepsi sedemikian.

Saya telah buktikan sekiranya kita bekerja dengan tekun, penuh disiplin, kerja satu pasukan, satu misi, dan tinggalkan ‘warna’ kita dengan kepercayaan berlainan, sudah tentu kita akan berjaya.

Semua orang gembira melihat seorang wanita boleh berjaya. Kita mesti tunjuk kebolehan dan keupayaan untuk memikul tanggungjawab bersama lelaki.

Bagi saya, penyertaan kaum lain dalam PDRM adalah amat penting kerana kita terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum. Ini penting bagi menggambarkan komposisi masyarakat berbilang kaum yang merupakan tarikan kepada dunia luar.

Itulah keistimewaannya dan kita mestilah menonjolkan keistimewaan itu. Ia menunjukkan semangat Malaysia sebagai negara berbilang bangsa dan kepercayaan.

Inilah tarikan yang ada di negara ini. Tunjukkan kita boleh bekerja dan hidup bersama-sama demi menjaga negara tercinta ini.

Boleh Datuk kongsikan pengalaman Datuk sepanjang berkhidmat dalam pasukan polis?

Saya diserap sebagai pegawai polis sejak 5 April 1987, sudah tentu bermacam -macam cabaran, kenangan pahit dan manis ditempuhi. Semua ini saya lalui dengan tabah dan positif dengan memberi keutamaan kepada tugas yang dipikul. Saya seorang yang sentiasa positif dan bergerak ke depan. Biar di mana jawatan atau tugasan, pasti ada pahit manis.

Sudah pasti ada ketika kita rasa kecewa apabila perkara atau tugas itu tidak mengikut apa yang kita rancang. Tapi kita perlu kekal positif dan tabah. Apabila plan A gagal, kita ambil B, bila B tidak boleh, ambil C. Itulah semangat yang diperlukan. Usah sesekali putus semangat atau putus asa.

Sesuatu kegagalan atau masalah adalah permulaan perjalanan kepada sesuatu kejayaan. Saya sering beritahu pegawai polis wanita terutamanya, kita perlu bersyukur dengan apa yang kita ada dan perlu sentiasa positif untuk move forward agar tidak terkongkong dalam pemikiran.

Kenangan manis ini adalah apabila kita berjaya mencapai sesuatu yang berharga. Contohnya, apabila melihat pegawai wanita memegang jawatan tinggi selepas diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan PDRM.

Di Malaysia, saya dapati kesamarataan itu ada. Saya selalu kata, wanita perlu buktikan keupayaan dan sanggup bekerja lebih. Ini pegangan saya.

Selain pangkat CP, apa pencapaian lain Datuk dalam PDRM?

Ada beberapa jawatan lain yang saya sandang iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pembangunan Pegawai Polis Wanita yang memiliki keahlian 15,732 orang pegawai wanita di seluruh Malaysia.Jawatankuasa ini akan melantik pegawai turus di setiap kontinjen yang akan disandang pegawai wanita paling senior. Kita akan selalu mengadakan dialog, pengurusan stres, sesi bersama untuk memberi dorongan dan bagi menjaga kebajikan selain mengingati antara satu sama lain agar sentiasa menjaga disiplin, tatatertib serta integriti.

Saya selalu nasihatkan khususnya pegawai dan anggota wanita agar mematuhi tatatertib dan disiplin dalam pasukan. Ini penting kerana PDRM mempunyai peranan penting selain persepsi masyarakat. Selain itu, saya juga menyandang Pengerusi Aktiviti Sembahyang Buddha bagi Hari Polis selama dua tahun berturut-turut sejak tahun lepas.

Dalam Hari Polis, kita ada perayaan agama masing-masing dan inilah salah satu cara untuk semua pegawai dan anggota merapatkan silaturahim selain membuktikan kepada dunia luar bahawa pasukan PDRM menekankan aspek kebajikan dan keagamaan.

Datuk mempunyai Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam jenayah juvana. Mengapa Datuk memilih untuk memberikan tumpuan terhadap bidang itu dan apakah dapatan penting yang diperoleh?

Saya graduasi PhD dalam bidang jenayah juvana pada tahun 2010 di Universiti Malaya. Sebelum itu, pada tahun 2005 saya lihat trend jenayah kanak-kanak bertambah. Jadi saya berasakan mengapa tidak saya buat sesuatu yang baik untuk PDRM.Trend jenayah ini saya lihat sentiasa berubah dan kanak-kanak hari ini sudah mula beralih kepada jenayah keganasan. Secara umumnya kita lihat faktor ibu bapa, internet meluas dan satu perkara penting adalah budaya yang sudah berbeza berbanding kanak-kanak dahulu.

Bila kawalan kurang daripada ibu bapa, kanak-kanak ini akan cuba teroka sesuatu, tapi mereka akan teroka ke arah perkara yang tidak betul.

Saya juga ada cadangkan beberapa polisi kepada kerajaan khususnya kementerian wanita untuk isu sedemikian.

Sudah tentu ada juga dapatan tesis saya itu dicadangkan kepada PDRM sendiri. Kajian tesis bukanlah penyelesaian mutlak, tetapi ia salah satu bentuk penyelesaian. Jadi kita perlu lihat setiap kajian dan membuat perbandingan.

Apakah misi dan visi Datuk selepas dilantik menyandang antara jawatan tertinggi dalam PDRM?

Saya telah membawa perubahan khususnya ke tahap yang lebih tinggi dengan melaksanakan tiga perkara utama.

Pertama, menetapkan hala tuju PDRM dengan menghasilkan perancangan strategik lima tahun untuk menjadikan PDRM sebagai pasukan polis bertaraf dunia.Kedua, mengadakan kolaboratif strategik dengan Sains Pengurusan/ Operasi Persatuan Penyelidikan Malaysia (MSORSM) iaitu sekumpulan penyelidik universiti bagi menjalankan kajian empirikal berhubung isu kepolisan, jenayah dan keselamatan yang boleh menyumbang kepada pembentukan dasar lebih berkesan.Ketiga, mewujudkan satu sistem pendigitalan di jabatan ini seiring dengan dasar pendigitalan negara agar PDRM dilengkapi dengan teknologi terkini untuk penugasan polis yang cemerlang.


ANEKDOT


Masa antara kerjaya dan keluarga

Dalam kerja, saya akan memastikan kerja yang dibuat mengikut timeline. Saya sering ingatkan pegawai saya untuk menyelesaikan sesuatu tugasan dengan mematuhi timeline. Dengan timeline, kita boleh bahagi kerja dan kehidupan. Sekiranya kerja tidak diatur dengan baik, sudah tentu masa kita sendiri tidak akan cukup bersama keluarga.

Nasihat penting untuk warga PDRM

Pegawai dan anggota dalam PDRM perlu sentiasa memberi keutamaan dengan melakukan sesuatu tugasan itu dengan cara terbaik dan mematuhi prosedur. Pegawai mahupun anggota baharu sekiranya tidak faham mestilah bertanya dan usah buat keputusan tanpa merujuk sesiapa. Jika waswas dapatkan nasihat kerana PDRM berkhidmat sebagai satu pasukan.

Kedua, usah putus asa dengan setiap kerja yang dilakukan. Mental sebagai pegawai polis perlu kuat, positif dan sentiasa berfikir tentang sesuatu isu itu.

Kita mesti tahu apa yang kita buat. Segala amanah yang dipertanggungjawabkan perlu dilaksanakan dengan sempurna.

Saya juga menyeru generasi muda di luar khususnya wanita yang berminat menyertai PDRM untuk jadikan ia sebagai satu kerjaya.

Berikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan bersama menjaga keselamatan negara Malaysia yang kita cintai.

Tip menjalankan tugas dengan cemerlang

Pertama, setiap tugasan kerja yang dilakukan perlulah ‘tip top’ selain perlu bebas daripada tindakan tatatertib. Mental juga harus kuat. Setiap penugasan yang diberi hendaklah dianggap sebagai penghormatan bahawa anda dipilih untuk melakukannya.

Saya selalu nasihatkan pegawai saya usah takut akan kerja. Tugasan yang banyak adalah lebih baik untuk melatih kita dengan ilmu, pengalaman dan kemahiran. Sentiasa bekerja lebih daripada yang sepatutnya. Sediakan diri hingga ke tahap itu.


PROFIL


Datuk Dr Lee Bee Phang

Pangkat: Komisioner (CP)

Jawatan: Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Penyelidikan dan Pembangunan)

Umur: 60 tahun

Asal: Lahir di Seremban, Negeri Sembilan, dibesarkan di Pekan Salak, Selangor

Pendidikan: Sarjana Muda Sains Sosial (USM)

Tempoh berkhidmat: 34 tahun


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!