'Selamat tinggal' ayat terakhir sebelum dihanyutkan arus deras

Pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat sedang memberikan kaunseling kepada Nor Ain.
Pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat sedang memberikan kaunseling kepada Nor Ain.
A
A
A

SEREMBAN - "Selamat tinggal". Itu ayat terakhir yang sempat diucapkan oleh Mohamad Syafiq Mustaqim Mohammad Fadly, 8, sebelum dihanyutkan arus deras selepas tergelincir ke dalam longkang berhampiran Flat Cempaka di Seremban 2 di sini, pada Sabtu.

Ketika kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa sedang bermain dengan seorang abangnya berusia sembilan tahun dan seorang kawan berusia 12 tahun.

Menurut ibunya, Nor Ain Ismail, 27, sebelum itu dia ada pulang ke rumah menghantar makanan buat dua anaknya.

"Saya sempat pesan kepada mereka supaya jangan keluar rumah dan tunggu ayah pulang sekejap lagi.

"Tapi dalam jam 4.30 petang saya dapat panggilan telefon dari penduduk yang beritahu anak saya terjatuh ke dalam longkang," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, ketika kejadian anaknya berada di bawah jagaan bekas suaminya yang tinggal Flat Dahlia di situ.

Bagaimanapun katanya, bekas suaminya itu tiada di rumah kerana pergi bekerja.

"Ayah dia selalu kerja malam. Tapi kebetulan pagi tadi majikannya telefon panggil bekerja.

Artikel Berkaitan:

"Kami sama-sama uruskan anak walaupun telah berpisah tahun lalu. Tapi mangsa dan abangnya berusia sembilan tahun tinggal dengan bapanya, yang sulung lelaki berusia 10 tahun dengan nenek di Ampangan dan yang bongsu perempuan dengan saya di Bukit Rasah," katanya.

Ujarnya, dua anaknya dan bekas suaminya baharu berpindah ke situ sejak empat bulan lalu.

Kata Nor Ain, anaknya tidak pernah bermain di kawasan itu dan biasanya hanya di kawasan rumah.

"Tapi entah macam mana dia nak pergi bermain kt situ hari ini. Abangnya dah larang, tapi dia tak dengar.

"Sebab itulah abangnya terpaksa ikut sama. Tapi katanya masa adik nak basuh kaki dia tergelincir dan paling sedih dia sempat cakap selamat tinggal," katanya.

Menurutnya, dia difahamkan ada penduduk yang cuba menarik mangsa, tapi tidak sempat.

Sementara itu Nor Ain berkata, dia tidak menyangka kejadian menimpa anaknya itu berlaku beberapa hari menjelang Aidilfitri.

"Ayah dia dua hari lepas ada belikan baju raya dan dialah paling teruja. Tapi saya nampak kali ini dia tak ceria langsung," katanya.