X

Kindly register in order to view this article
!

Kebarangkalian roket Long March 5B terhempas timpa manusia rendah: MYSA

Roket Long March 5B dilancarkan pada 29 April lepas untuk menghantar modul teras stesen angkasa China iaitu Tianhe dengan berat 22,600 kg ke orbit pengoperasiannya di angkasa. - Foto CNBC
A
A

KUALA LUMPUR - Orang ramai dinasihatkan supaya tidak bimbang terhadap laporan sebuah roket milik China dikenali sebagai Long March 5B dijangka terhempas ke bumi hujung minggu ini kerana kebarangkalian objek itu untuk menimpa manusia atau merosakkan struktur bangunan adalah sangat rendah.

Menurut Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), jangkaan itu adalah berdasarkan 70 peratus daripada permukaan bumi terdiri daripada air selain keluasan Malaysia kecil berbanding dengan keluasan muka bumi.

Selain itu, lokasi sebenar roket tersebut dijangka terhempas atau 're-entry' masih tidak dapat diramal dengan tepat dan pihak MYSA akan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa.

"Ramalan terkini bahawa ‘re-entry’ roket Long March 5B akan jatuh ke bumi adalah pada 7 Mei jam 9.34 pagi hingga 3.34 petang waktu Malaysia. Sisa roket masih mengorbit dan semakin menurun menghampiri 're-entry zone'," demikian menurut kenyataan MYSA pada Sabtu.

Menurut MYSA, setiap pelancaran roket kebiasaannya akan meninggalkan serpihan bergantung kepada saiz roket yang dilancarkan dan memandangkan saiz Long March 5B agak besar, maka serpihan yang berkemungkinan akan terhempas ke bumi juga besar.

Bagaimanapun, MYSA menjelaskan sebahagian besar serpihan tersebut akan musnah terbakar di atmosfera dan berkecai menjadi serpihan-serpihan kecil selain hanya serpihan yang tidak terbakar sepenuhnya sahaja akan jatuh ke bumi.

Sehubungan itu, MYSA menasihati orang ramai supaya tidak menyentuh atau mengambil sebarang objek yang mencurigakan atau menyedut wap yang dikeluarkan daripada serpihan disyaki daripada kejadian roket terhempas tersebut.

MYSA juga menasihati orang ramai agar menghubungi talian kecemasan 999 atau MYSA di talian 03-26972570 serta membuat laporan sewajarnya jika menyaksikan kejadian tersebut dan merakamkannya bagi membantu siasatan serta tidak menyebarkan sebarang maklumat palsu.

Tambah MYSA, Long March 5B bukan objek terbesar yang memasuki ruang atmosfera bumi, sebaliknya rekod sebelum ini adalah melibatkan stesen angkasa Mir milik Rusia dengan muatan 120,000 kilogram (kg) pada 23 Mac 2001.

Sebagai perbandingan, berat sisa roket Long March 5B dijangka dalam 21,000 kg dan hanya 1/5 daripada berat stesen angkasa Mir, menurut kenyataan itu.

Roket Long March 5B dilancarkan pada 29 April lepas untuk menghantar modul teras stesen angkasa China iaitu Tianhe dengan berat 22,600 kg ke orbit pengoperasiannya di angkasa. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!