Selangor sedia bas percuma sambut mahasiswa pulang

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor menyediakan kemudahan pengangkutan percuma kepada 352 pelajar daripada enam buah institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh Semenanjung Malaysia untuk pulang ke negeri ini sempena Aidilfitri.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, inisiatif tersebut selaras keputusan Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 28 April lalu untuk membenarkan pelajar IPT pulang ke rumah masing-masing sempena hari raya kecuali dari Sarawak.

Menurutnya, enam universiti terbabit ialah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) cawangan Parit Raja, Johor; Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) cawangan Pagoh; Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang; Universiti Teknikal Melaka (UTEM); Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

“Proses penghantaran dijalankan dengan kawalan dan prosedur operasi standard (SOP) ketat untuk memastikan kesihatan pelajar terjaga melalui pematuhan protokol kesihatan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, pelajar dari Zon Utara tiba di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor pada Sabtu, manakala pelajar dari Zon Pantai Timur akan tiba pada Ahad dan disambut oleh ibu bapa mereka untuk diambil pulang ke rumah.

“Semoga inisiatif ini dapat meringankan beban ibu bapa di Selangor yang mengalami tekanan kewangan berikutan penularan wabak Covid-19 yang masih tinggi serta kesan ekonomi yang menyusul,” katanya.

Artikel Berkaitan: