Mangsa kebakaran terharu pertama kali dapat belanja RM1,000

Zamzuri (tiga dari kiri) bersama Nik Mohd Fairus dan keluarga yang diberi peluang berbelanja sebanyak RM1,000 melalui baucar Dana Econsave Prihatin di Econsave Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani pada Khamis.
Zamzuri (tiga dari kiri) bersama Nik Mohd Fairus dan keluarga yang diberi peluang berbelanja sebanyak RM1,000 melalui baucar Dana Econsave Prihatin di Econsave Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani pada Khamis.
A
A
A

SUNGAI PETANI- Aidilfitri memberi sinar baharu buat sebuah keluarga yang menjadi mangsa kebakaran di PPR Harmoni Paya Nahu II, di sini kerana diberi peluang berbelanja secara percuma dengan baucar bernilai RM1,000.

Nik Mohd Fairus Nik Man, 36, bersyukur kerana selepas ditimpa musibah dan tinggal sehelai sepinggang akibat kebakaran rumah, ramai pihak yang bersimpati tampil menghulurkan sumbangan termasuk peluang berbelanja sebanyak RM1,000 yang belum pernah dirasai sebelum ini.

"Kami belum buat apa-apa persiapan hari raya, namun kami ada terima sumbangan daripada orang ramai seperti pakaian, barangan dapur, peralatan elektrik dan lain-lain. Dengan adanya peluang ini bolehlah beli barangan keperluan lain termasuk baju raya anak-anak," jelasnya ketika ditemui di Econsave Bandar Puteri Jaya, di sini pada Khamis.

Sementara itu, Pengurus Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor berkata, baucar membeli belah bernilai RM1,000 diberikan melalui Dana Econsave Prihatin memberi peluang kepada keluarga itu memilih apa sahaja keperluan mereka.

"Mereka boleh pilih apa sahaja yang mereka nak daripada keperluan diri sehinggalah persiapan hari raya dan kami sangat berbesar hati kerana mereka juga adalah pelanggan Econsave dan pernah berbelanja di sini sebelum ini, jadi keuntungan yang diperoleh, kita beri semula kepada pelanggan melalui dana ini.

"Kami berharap agar mereka tabah menghadapi dugaan ketika umat Islam sedang melalui bulan Ramadan dan akan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Rumah hangus, Aidilfitri tujuh beranak suram

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan sebuah rumah di PPR Harmoni Paya Nahu II terbakar ketika mangsa keluar menghantar pesanan makanan berbuka puasa yang ditempah pelanggan.

Artikel Berkaitan:

Kejadian itu turut mendapat perhatian Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang turun padang ke lokasi kejadian baru-baru ini.