X

Kindly register in order to view this article
!

Kepala pekerja tersepit, JKKP jalankan siasatan

Pegawai penyiasat JKKP telah dihantar untuk menjalankan siasatan terhadap kes kemalangan pekerja yang kepalanya tersepit pada besi peranti pengangkat tong sampah sebaik menerima laporan pada Rabu.
A
A

IPOH - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak melakukan siasatan terhadap kematian seorang pekerja pembersihan selepas kepalanya tersepit pada besi peranti pengangkat tong sampah, Selasa lalu.

Kejadian sekitar jam 10.45 pagi di Taman Victoria, di sini berlaku ketika mangsa, A Ganesan, 45, sedang menjalankan kerja pemungutan sampah menggunakan lori sampah di kawasan berkenaan.

Pengarah JKKP Perak, Ir Zamzurin Maarof berkata, siasatan awal yang dijalankan mendapati mangsa ketika kejadian sedang berdiri di belakang sebelah kiri lori sampah dan cuba mengalihkan kayu tersangkut yang telah menghalang proses memampat muatan sampah.

Menurutnya, cubaan itu mengakibatkan tangan kiri mangsa tertarik bahagian alat kawalan sistem hidraulik peranti berkenaan menyebabkan ia terangkat dan menghimpit kepala mangsa.

"Mangsa mendapat kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia lebih kurang jam 4 petang di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada hari yang sama.

"Laporan kejadian ini diterima semalam (Rabu) dan sepasukan pegawai penyiasat telah dihantar untuk menjalankan siasatan terhadap kes kemalangan tersebut," katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Khamis.

Mangsa meninggal dunia selepas kepalanya tersepit pada besi peranti pengangkat tong sampah ketika sedang menjalankan kerja pemungutan sampah menggunakan lori sampah di Taman Victoria, Ipoh pada Selasa lalu.
Mangsa meninggal dunia selepas kepalanya tersepit pada besi peranti pengangkat tong sampah ketika sedang menjalankan kerja pemungutan sampah menggunakan lori sampah di Taman Victoria, Ipoh pada Selasa lalu.

Beliau berkata, susulan daripada siasatan awal yang dijalankan, JKKP telah mengarahkan majikan untuk mengambil tindakan serta-merta bagi menyemak semula dan menambah baik prosedur kerja selamat sedia ada serta latihan yang diperlukan kepada pekerja yang terdedah kepada risiko semasa pengendalian lori sampah.

Katanya, JKKP Perak juga sedia mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

"JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam. Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja dan bertanggungjawab untuk mengenal pasti bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat analisa risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.

"Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja, kemalangan seumpama ini boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinayatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC)," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!