X

Kindly register in order to view this article
!

Rentak positif Penang FC tercalar

Pemain KL City, Fakhrul Aiman (kiri) melepasi asakan pemain Penang FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
A
A

PENANG FC gagal meneruskan momentum positif selepas tewas kepada Kuala Lumpur (KL) City FC 1-3 dalam aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Selasa.

Kekalahan tersebut sekali gus menyaksikan rekod tanpa kalah pasukan Harimau Kumbang itu lebur selepas kali terakhir tewas di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 9 Mac lalu.

Bagi pengendali Penang FC, Tomas Truca berkata, kehilangan beberapa pemain utama selain keletihan menyumbang kepada rentak hambar pasukan sekali gus menjadi faktor kekalahan tersebut.

"Kami kehilangan ramai pemain utama dalam beberapa perlawanan sebelum ini selain pemain keletihan ekoran jadual padat dan ia sedikit menyukarkan kami untuk memberikan persembahan yang baik.

"Kami juga cuba mengubah sedikit taktikal namun hari ini bukan hari terbaik buat kami dan gagal mencari lebih banyak gol dan mencabar pasukan lawan," katanya.

Dalam perlawanan itu, kapten KL City FC, Paulo Josue meledak hatrik manakala gol saguhati Penang FC dijaringkan Danial Ashraf Abdullah.

Kekalahan itu menyaksikan Penang jatuh ke tangga keempat dengan mengumpul 22 mata, manakala KL City pula naik ke kedudukan keenam dengan 16 mata selepas 12 perlawanan.

Bagaimanapun, Truca tidak mahu menyalahkan para pemainnya dia atas kekalahan itu selain menegaskan pasukan itu telah memberikan aksi yang terbaik.

"Kami bermula dengan baik dan ada beberapa peluang. Kemudian, Josue menjaringkan gol sepakan percuma yang cantik dan menambah lagi gol. Kami cuba bangkit namun hari ini memang milik KL.

"Saya tidak melihat perlawanan ini menjatuhkan moral kami kerana KL City sudah semestinya sebuah pasukan yang bagus. Sebaliknya kami perlu recovery dan fokus perlawanan seterusnya nanti," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!