Dakwaan pesawat dari New Delhi: Polis siasat kenyataan di Facebook

Huzir Mohamed
Huzir Mohamed
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis membuka kertas siasatan berhubung satu kenyataan di Facebook yang mendakwa mengenai sebuah pesawat penerbangan MH 191 dari New Delhi, India dikatakan membawa masuk penumpang ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antrabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, hantaran daripada penama Muhammad Fahmi Abdullah itu dibuat selepas kerajaan mengeluarkan arahan dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 28 April lalu.

Arahan itu membabitkan sekatan sementara penerbangan penumpang keluar dan masuk dari negara India bagi mencegah kemasukan varian baharu Covid-19 daripada negara berkenaan bagi mengelak penularannya di Malaysia.

"Kenyataan di Facebook itu tidak benar dan boleh menimbulkan kegusaran serta kebimbangan terhadap orang ramai berhubung langkah yang diambil kerajaan dalam usaha mengekang penularan Covid-19," katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Huzir berkata, pihaknya turut menjalankan siasatan terhadap pemilik akaun Facebook, Wan Hilmi Wan Mohd Nor Hilmi di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana membuat hantaran yang mengandungi kenyataan jelik serta mengaibkan kerajaan.

"Secara keseluruhan, kita telah membuka sebanyak 12 kertas siasatan di bawah Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(No 2) 2021, memperuntukkan kesalahan terhadap sesiapa sahaja yang mengadakan, menawarkan, menerbitkan, mencetat, mengedarkan, mengelilingkan atau menyebarkan apa-apa berita tidak benar sehingga menyebabkan ketakutan atau kebimbangan orang ramai atau golongan," katanya.

Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(No 2) 2021, yang diwartakan pada 11 Mac lalu adalah khusus untuk mengekang aktiviti penghasilan dan penularan berita tidak benar yang mempunyai kaitan dengan wabak COVID-19 atau Proklamasi Darurat 2021.

Undang-undang itu sekali gus memberi kuasa kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menangkap tanpa waran mana-mana individu atau pertubuhan perbadanan yang cuba menyiarkan serta menyebarkan berita tidak benar khususnya di media sosial.

Artikel Berkaitan: