X

Kindly register in order to view this article
!

Lapan rumah dibadai ribut

Abd Razak menunjukkan bumbung rumahnya diterbangkan angin dalam kejadian ribut di Kampung Bukit Badong di sini pada Isnin.
A
A

KUALA SELANGOR - Kira-kira lapan rumah penduduk di Kampung Bukit Badong di sini dilanda ribut mengakibatkan bumbung sebahagian kediaman itu musnah diterbangkan angin dalam kejadian petang Isnin.

Ketika kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, penduduk mendakwa hujan lebat luar biasa disusuli ribut kira-kira sejam menyebabkan keadaan kelam-kabut sebelum bumbung kediaman mereka diterbangkan angin kencang.

Seorang penduduk, Rohani Ahmad, 54, berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang memasak juadah berbuka puasa.

"Semuanya berlaku secara tiba-tiba sebelum ribut menerbangkan bumbung rumah saya.

"Saya terkejut apabila bumbung bahagian dapur menghala ke bilik tercabut dan lantai rumah dipenuhi air. Ketika itu saya hanya mampu melaungkan Allahuakbar sekuat hati," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Rohani yang tinggal bersendirian di rumah itu berkata, kejadian seperti itu pertama berlaku sejak menetap di situ lebih 40 tahun lalu.

"Saya anggarkan mengalami kerugian lebih RM5,000 selain kelengkapan rumah yang turut mengalami kerosakan," katanya.

Seorang lagi penduduk, Abd Razak Ahmad, 52, berkata, kejadian itu disedari berlaku apabila dia dihubungi anaknya memaklumkan bumbung rumah mereka diterbangkan angin.

"Ketika kejadian saya sedang membeli barangan dapur di sebuah kedai runcit dan anak memaklumkan rumah kami dilanda ribut.

"Selepas hujan kembali reda saya pulang ke rumah dan mendapati air memenuhi bahagian lantai ruang tamu dan dua bilik tidur," katanya.

Katanya, anaknya sempat merakam video kejadian yang berlaku di rumahnya dan terkejut apabila angin kuat disusuli hujan lebat.

"Ketika itu juga isteri dan empat anak berada di rumah. Keadaan kelam-kabut sebelum bumbung kediaman kami diterbangkan angin kencang," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Badong, Muhammad Nasir Ahmad berkata, sebanyak lapan rumah di Kampung Bukit Badong dilanda ribut pada petang Isnin.

Katanya, pihaknya telah meminta semua pemilik rumah terlibat membuat laporan polis dan merakam gambar rumah bagi proses bantuan kepada mangsa terlibat.

"Kita telah memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, Dr Idris Ahmad dan ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad untuk bantuan baik pulih rumah terjejas.

"Saya difahamkan saluran bantuan ini akan segera diproses untuk membantu penduduk yang terjejas terutama dalam keadaan hanya tinggal beberapa hari sahaja umat Islam bakal menyambut Aidilfitri," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!