Streram belum pasti dipilih calon PKR DUN Rantau: Azmin

Azmin Ali
Azmin Ali
A
A
A

SEMENYIH - Meskipun dipilih menjadi calon PKR bagi DUN Rantau dalam PRU14, ia bukanlah tiket untuk Dr S Streram dipilih sekali lagi dalam PRK DUN Rantau kelak.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, PH akan berbincang dalam masa terdekat untuk menentukan calon yang akan bertanding di sana.

“Mahkamah Persekutuan baru sahaja buat keputusan supaya diadakan PRK Rantau.

“Saya yakin PH akan segera berbincang tentang calon yang akan mewakili PH di Rantau dan kita akan umumkan pada masa yang sesuai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berceramah dalam Ceramah Isu-isu Semasa di Kampung Rinching Hilir, di sini, malam tadi.

Ketika ditanya adakah Streram akan dipilih menjadi calon, Mohamed Azmin menegaskan ia belum lagi diputuskan.

“Belum diputuskan lagi. Walaupun kerusi ini secara tradisinya diwakili oleh PKR namun kita sentiasa mengambil sikap muafakat dalam PH untuk memastikan calon itu adalah PH,” ujarnya.

PRK DUN Rantau akan diadakan selepas Mahkamah Persekutuan semalam menolak rayuan yang dikemukakan ADUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)

Artikel Berkaitan:

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum.

Malanjum ketika membuat keputusan itu berkata, Streram mempunyai locus standi (hak yang sah di sisi undang-undang) untuk mengemukakan petisyen pilihan raya.