Cari kerja untuk bina kerjaya

A
A
A

SELEPAS Hari Raya Aidilfitri, insya-ALLAH kedai buku Iqra Read akan dibuka di Malakat Mall, Cyberjaya. Saya sedang mempersiapkan pengisian premis dengan minimum 5,000 naskhah buku. 20 tahun lalu, saya bertugas di syarikat penerbit buku Alaf 21, Kumpulan Karangkraf. Sebagai orang buku, saya rasa bertenaga kembali kerana terlibat dengan dunia ini.

Kedai perlukan petugas. Maka, saya pun adakan sesi temuduga. Kali ini keadaan perlukan saya melakukan pendekatan berbeza dengan cara mengendalikan temuduga 20 tahun lalu. Sebelum ini saya suka bercampur bangga apabila menerima berpuluh pucuk surat daripada calon temuduga dan seronok melihat berpuluh calon menanti untuk ditemuduga. Kali ini tidak lagi begitu.

Pemohon pula bukan lagi melihat iklan kerja di dada akhbar, sebaliknya calon mempunyai pelbagai sumber maklumat, khususnya melalui iklan di internet. Soal jawab mengenai tarikh temu janji untuk temuduga sudah menjadi lebih personal apabila saya melayani pertanyaan asas calon melalui mesej di telefon. Dari situ, saya boleh menelah latar belakang bakal-bakal calon walaupun belum bersemuka.

Mereka yang segera menjawab mesej adalah mereka yang banyak masa luang, barangkali belum ada kerja. Mereka yang lambat jawab mesej mungkin sedang bekerja dan bukannya penganggur. Saya boleh menelah kemahiran bahasa calon dalam bertukar mesej itu.

Apabila calon menghadiri temuduga, saya mengukur ketepatan waktu mereka. Kebolehan mereka untuk sampai ke pejabat saya setelah diberikan pautan lokasi menunjukkan kebolehan seseorang calon berusaha mendapat apa yang dimahukan. Calon yang sesat dan bertanya lokasi tempat temuduga menunjukkan ada kelemahan.

Calon hari ini perlu mempunyai pelbagai kemahiran. Petugas di kedai buku saya kelak bukan sekadar duduk membatu membaca novel di kaunter dan menguruskan pembelian buku tanpa memandang pun pada pelanggan, sebaliknya mereka perlu tahu banyak perkara selain menerima wang tunai.

Kini sudah ada pembayaran secara e-wallet dan kad kredit. Setiap buku yang dibeli perlu diimbas. Petugas harus tahu mengendalikan sekiranya berlaku gangguan internet. Ada terdapat pelbagai tawaran dan pakej mengiringi pembelian.

Justeru, calon yang memperoleh A dalam Matematik perlu tahu mengendalikan mesin point-of-sales.Mereka yang berkelulusan dalam bidang sains perpustakaan pun belum cukup syarat menjadi petugas di kedai buku. Di Iqra Read, buku-buku tidak disusun menurut sistem pengkatalogan perpustakaan.

Artikel Berkaitan:

Di premis itu, buku disusun mengikut jenama. Pelanggan hari ini tidak memilih judul buku semata-mata tetapi membeli berdasarkan jenama. Jadi, ilmu dipelajari di kolej perlu disesuaikan dengan psikologi pelanggan. Calon berkelulusan dalam bidang penerbitan memang diperlukan tetapi mereka yang mempunyai kebolehan dalam susun atur buku, kebolehan membuat live mempromosi buku di media sosial dan membuat iklan dalam bentuk copywriting pendek amat saya cari.

Akhirnya, calon yang boleh bertugas di kedai buku hari ini perlu mempunyai kebolehan pelbagai. Siapakah yang mempunyai pelbagai kebolehan ini? Siapakah calon yang boleh buat semua ini? Saya turut tertanyakan soalan ini dan memperoleh jawapan.

Calon yang akan dipilih majikan hari ini bukan sepenuhnya yang mempunyai ijazah tetapi mereka adalah calon yang benar-benar hendak bekerja. Akhir-akhir ini, saya dapati calon yang ditemuduga sudah tidak menetapkan gaji. Ramai sanggup bekerja kerana inginkan sesuap nasi dan mengatur hidup masa depan yang kian tak menentu. Mereka bukan hendak kerja tetapi mahukan kerjaya.

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian