Nasib Bottas mula cetus tanda tanya

Bottas
Bottas
A
A
A

PEMANDU sensasi Mercedes, Lewis Hamilton dijangka mempunyai rakan gandingan baharu sebelum penghujung musim ini selepas timbul spekulasi Valtteri Bottas bakal disingkirkan daripada pasukan Formula Satu (F1) itu.

Khabar angin itu mula tercetus selepas berakhirnya perlumbaan Grand Prix (GP) Portugal pada Ahad lalu yang menyaksikan Hamilton muncul juara manakala Bottas menduduki tempat ketiga.Jika Bottas yang telah menggalas cabaran Mercedes selama lima musim meninggalkan pasukan itu, ia akan membuka ‘pintu’ buat pemandu muda Britain, George Russell mengambil alih tempatnya.

Russell dikatakan sebagai calon pilihan untuk bergandingan bersama Hamilton yang telah merekodkan gelaran dunia F1 sebanyak tujuh kali dalam kariernya setakat ini.

Russell kini mewakili pasukan Williams, namun dia merupakan produk daripada program pembangunan pemandu muda Mercedes. Dia menggantikan Hamilton dalam saingan GP Sakhir pada Disember tahun lalu selepas juara dunia itu dijangkiti Covid-19.

Kini terpulang kepada prinsipal pasukan, Toto Wolff sama ada mahu terus mengekalkan khidmat Bottas atau membawa masuk Russell bagi menggalas cabaran Mercedes bersama Hamilton.

Sebelum ini, Wolff secara terbuka menyatakan sokongan kepada Bottas sambil menganggap tiada apa yang perlu dibuktikan pemandu kelahiran Finland berusia 31 tahun itu.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik Bottas ketika mewakili Mercedes dalam tempoh empat musim terdahulu ialah menduduki tangga kedua keseluruhan bagi edisi 2019 dan 2020.

Artikel Berkaitan: