Saya sedia dipanggil rakam keterangan: Abdul Hamid

Abdul Hamid Bador - Foto Bernama
Abdul Hamid Bador - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador bersedia pada bila-bila masa untuk dirakam keterangan berhubung pendedahannya berkaitan campur tangan politik dalam Cawangan Khas.

Abdul Hamid berkata, tidak jadi sebarang masalah sekiranya pihak berkuasa memanggilnya untuk dirakam keterangan.

"Saya tengok perkembangan, kalau beliau (Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin) ada nak nafi ke apa, kalau nak saya datang bagi keterangan, saya datanglah.

"Pada saya biarlah kepimpinan Bukit Aman siasat, nak tentukan kes jenayah ke terpulang kepada mereka, apa pun saya nak halang perancangan menguasai Cawangan Khas untuk digunakan bagi kepentingan politik, itulah saya dedahkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Mengulas lanjut, beliau berkata, perancangan ini telah berlaku sejak beberapa bulan sebelum beliau bersara.

"Dah berlaku beberapa bulan, dekat-dekat saya nak bersara lagi panas, maknanya kalau dapat cepat, cepat lagi nak kawal, nak kuasai, itulah niatnya.

"Prinsip saya jelas sama seperti 2015 dahulu, waktu 1MDB saya lawan atas prinsip tidak boleh ada penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, penindasan.

"Jadi, 2021 ini kalau saya dapat lihat ada kecenderungan untuk melakukan penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, menindas orang yang tidak bersalah, saya akan ambil tindakan sama ada saya hebahkan dan dedahkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, bekas Ketua Polis Negara itu mendakwa Hamzah melakukan campur tangan terhadap pelantikan pegawai kanan polis.

Memetik sebuah portal tempatan, beliau mendakwa wujud campur tangan Menteri Dalam Negeri itu untuk menentukan jawatan Pengarah Cawangan Khas (PCK) Bukit Aman.

Beliau turut mendakwa terdapat usaha untuk menguasai Cawangan Khas bagi kepentingan politik.