Doakan Kedah beraksi pada tahap terbaik, kata Baddrol

Baddrol (kanan) turut menjaringkan satu gol semasa membantu Kedah menjinakkan Melaka United 3-1 pada Jumaat. -Foto KDA FC
Baddrol (kanan) turut menjaringkan satu gol semasa membantu Kedah menjinakkan Melaka United 3-1 pada Jumaat. -Foto KDA FC
A
A
A

KEDAH Darul Aman (KDA) FC memohon doa semua penyokongnya agar pasukan tersebut dapat beraksi pada tahap terbaik bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi ke-12 Liga Super 2021 pada malam Selasa.

Ketua pasukan Hijau Kuning, Baddrol Bakhtiar berkata, mereka akan memanfaatkan dan beraksi sebaik mungkin di laman keramat Stadium Darul Aman yang menjadi kebanggaan mereka selama ini.

Menurutnya, pemain-pemain KDA FC terpaksa akur kepada larangan penyokong tidak dibenarkan masuk ke stadium selepas Kota Setar termasuk lima daerah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 1 Mei hingga 14 Mei depan.

"Kami baharu saja mencatatkan kemenangan ke atas Melaka United FC 3-1 pada Jumaat lalu dan mahu meneruskan momentum memburu mata pada aksi bertemu JDT pula.

"Ketiadaan penyokong sedikit memberikan kesan, namun kami berazam memberikan aksi terbaik dan memohon penyokong mendoakan kami agar memperoleh keputusan terbaik menentang JDT," katanya ketika diminta mengulas tentang pertemuan yang kini menjadi perhatian semua penyokong dan pemerhati bola sepak tanah air pada minggu ini.

Mengulas lanjut, Baddrol berkata, kehadiran pemain ke-12 sebelum ini berjaya menyuntik semangat pasukan itu untuk terus memburu gol sehingga berjaya mengatasi lawan pada penghujung perlawanan.

"Mengenai larangan kemasukan penonton ini apa boleh buat, semua ini dilakukan demi keselamatan semua," katanya.

Hijau Kuning kini berada di tangga kedua liga dengan 23 mata selepas 11 perlawanan dan hanya dibezakan satu mata dengan JDT yang kini mengumpul 24 mata.

Artikel Berkaitan: