Fasa terakhir laksana subsidi petrol bersasar

Saifuddin(berbaju biru) menyerahkan plak tandatangan perasmian Stesen Minyak BHPetrol Sepang Lukut
Saifuddin(berbaju biru) menyerahkan plak tandatangan perasmian Stesen Minyak BHPetrol Sepang Lukut
A
A
A

PORT DICKSON - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kini dalam fasa terakhir untuk melaksanakan subsidi petrol secara bersasar.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Kementerian Kewangan ketika ini dalam proses memilih vendor yang sesuai untuk mengendalikan sistem yang akan digunakan.

“KPDNHEP akan bekerjasama dengan vendor berkenaan dalam memastikan pelaksanaan subsidi bersasar dapat berjalan dengan lancar seperti dikehendaki.

“Vendor ini ada beberapa skop tugasan antaranya bertanggungjawab bangunkan sistem yang berasas pada spesifikasi Kementerian Kewangan serta KPDNHEP,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Stesen Minyak BHPetrol Sepang Lukut di Taman Perindustrian Perdana Lukut di sini, hari ini.

Menurutnya, sistem itu bukan sahaja dapat digunakan untuk pelaksanaan subsidi bersasar, tetapi ada perancangan untuk barangan lain juga boleh digunakan.

Selain itu katanya, pihaknya juga kini dalam proses akhir mengumpul maklumat penerima yang layak melalui pelbagai agensi berkaitan seperti e-Kasih dan Jabatan Pendaftaran Negara(JPN).

“Ini kerana subsidi petrol secara bersasar yang dijangka dilaksanakan pada April ini adalah berdasarkan garis pendapatan.

“Kita nak subsidi bersasar ini mesti sampai pada golongan sasaran, logiknya dengan pendapatan RM2,900 munasabah tak dia memiliki kenderaan dengan pendapatan itu? Sebab itu keutamaan adalah garis pendapatan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, secara keseluruhan pelaksanaannya mengikut jadual ditetapkan, melainkan jika ada sebarang pengubahsuaian.

Mengulas lanjut katanya, sebanyak 3,500 stesen minyak di seluruh negara yang akan terbabit dengan pelaksanaan subsidi petrol secara bersasar itu.

“Kita juga buat perbincangan dengan pihak terbabit termasuk pemain industri bagi mendapatkan maklumat seperti waktu puncak rakyat mengisi minyak dan sebagainya.

“Maklumat seperti ini penting bagi memastikan sistem yang digunakan berjalan dengan lancar kerana jika sistem gagal terutama pada waktu puncak akan beri kesan yang besar,” katanya.

Hadir sama, Pengarah Urusan Seng Grop, Datuk Seri Dr King Lim Chin Fui, Speaker Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar.