'Jalan lubang, biar ADUN tampal'

Status dimuat naik Ahmad Mustain di Facebook peribadi beliau, hari ini.
A
A

SABAK BERNAM - ADUN Sabak, Ahmad Mustain Othman mencabar pihak yang menyindirnya menampal lubang jalan menggunakan simen di Jalan Raja Chulan, Pekan Sabak, bertindak segera menangani isu serupa di hadapan Balai Penghulu Mukim Sabak, di sini.

Menerusi status di Facebook beliau, hari ini, Ahmad Mustain berkata, isu jalan berlubang itu berlaku kira-kira enam bulan lalu.

"Saya beri (tempoh) masa tiga hari, tolonglah tampal jalan ini.

"Kalau masih tidak ditampal, Insya-ALLAH, saya sendiri tampal," katanya.

Malah, Ahmad Mustain berkata, beliau tidak menghiraukan kecaman sesetengah pihak yang tidak senang dengan tindakan beliau menampal jalan berlubang.

"Biar apa orang kata, ada aku kisah?. Apa yang penting rakyat sejahtera," katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Mustain yang memuat naik status terbaharu pada hari sama mengenai jalan itu telah diambil tindakan segera Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Jam 8 pagi (aduan jalan) berlubang, jam 12 tengah hari siap tampal.

"Tahniah kepada JD (Jurutera) JKR Sabak Bernam," katanya.

Malah, Ahmad Mustain secara berseloroh berharap dijadikan ikutan kepada agensi kerajaan lain.

"Tindakan pantas dan contoh yang sangat baik kepada Jabatan lain. Boleh up (naik) gaji," katanya.

Sehingga jam 4 petang semalam, status itu menerima seramai 44 reaksi pelbagai tanda pada status itu dan menerima sebanyak 14 komen.

Seorang pengendali Facebook menggunakan akaun nama 'Oto San' dalam status komen itu mengucapkan tahniah kepada Ahmad Mustain yang peka dengan isu rakyat.

"Biar nampak tak glamer (popular) tetapi cakna pada rakyat, tinggalkan sifat eksklusif macam YB (Yang Berhormat) yang dulu.

"Walaupun nampak remeh, tetapi ada impak tinggi dan teruskan dengan usaha kebajikan rakyat melalui media sosial," katanya.

Sinar Harian 15 Februari lalu melaporkan, Ahmad Mustain terpaksa melakukan kerja-kerja menampal lubang jalan menggunakan simen di Jalan Raja Chulan, Pekan Sabak, berikutan kegagalan pihak berwajib menampal lubang berkenaan.