Polis siasat majlis iftar dihadiri selebriti didakwa ingkar SOP

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis membuka kertas siasatan berhubung dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada majlis berbuka puasa yang dihadiri beberapa selebriti tempatan di ibu negara baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, setakat ini tiga individu daripada pihak penganjur dan seorang pihak pengurusan hotel telah dipanggil memberi keterangan.

"Siasatan mendapati program terbabit telah berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 29 April.

"Polis juga akan memanggil semua individu yang terlibat dalam penganjuran majlis terbabit," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mohamad Zainal berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) serta Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Bersyarat) (No.4) 2021.

Beliau berkata, polis Kuala Lumpur menyeru orang ramai supaya terus mematuhi SOP yang ditetapkan, sekiranya gagal tindakan boleh diambil di bawah peruntukan undang-undang.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes terbabit boleh salurkan ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 dan IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya.

Penganjuran majlis berkenaan mengundang rasa tidak puas hati segelintir netizen yang mempertikai SOP seperti penjarakan fizikal ketika berlangsungnya program itu.

Artikel Berkaitan: