X

Kindly register in order to view this article
!

Pengantarabangsaan kabilah sastera

A
A
KARYA sastera dan kreatif tidak dihasilkan dari ruang yang kosong dan terbiar. Karya mempunyai asas yang lahir dari dalaman penulis untuk membicarakan tentang ‘sesuatu’ dalam ‘sesuatu’ yang melingkari kehidupan sejagat. Selepas 100 tahun, dunia telah melalui banyak krisis pandemik, tetapi karya sastera dan kegiatan kesusasteraan masih hidup dalam ruang lingkungnya.

Aktiviti dan kegiatan sastera memainkan peranan tersendiri dalam memberi pengajaran sejarah melalui lakaran karya-karya kreatif. Memberi ruang luas pengkaryaan dunia sastera agar tidaklah terpinggir sunyi dan menyepi mendiamkan diri. Masyarakat sastera yang membudayakan kelaziman baharu boleh mengeksploitasi perkembangan sastera dengan sebaiknya.

Kegiatan sastera yang dahulunya bernafas dan bergerak dalam kabilah-kabilahnya tersendiri kini mampu mengembara dan menerokai dunia dengan lebih luas kiranya pengendali-pengendali sastera mampu membuka ruang pemikiran untuk menerima dan melaksanakan kegiatan-kegiatan yang lebih bersifat global.

Jika dahulu, aktiviti-aktiviti sastera bersifat antarabangsa mahupun nusantara hanya sesekali diadakan dan kejayaan itu akan dianggap sebagai satu kejayaan yang maha gah untuk dicatatkan dalam sejarah perkembangan sastera. Kejayaan-kejayaan itu akan menjadi bahan bualan dan dicatatkan di dada-dada akhbar. Sebutan-sebutan manis tentang pemeran itu juga akan diungkapkan dari tahun ke tahun.

Namun, perubahan jalur perjalanan sastera melalui kembara digital memberikan ruang yang lebih luas kiranya pengembara sastera mampu mengakrabi denai teknologi dengan baik dan berkesan. Pengendalian acara-acara pada tahap kebangsaan, serumpun dan antarabangsa sudah dianggap biasa dan tidak lagi menjadi satu perkara luar biasa. Meskipun masih ada sesetengah pemain sastera konservatif beranggapan bahawa nilai dan maruah aktiviti secara dalam talian ini tidak selayaknya untuk diiktiraf berskala antarabangsa lantaran tiada pertemuan bersemuka.

Kelompok muda

Kokun pemikiran sebeginilah yang merugikan sastera kerana meletakkan darjat sastera dalam kabilah-kabilah tersendiri; tidak bergerak seiring dengan peredaran zaman dan menarik minat kelompok pemula untuk mendekati sastera. Sikap sebegini jugalah yang meletakkan acara sastera masih lagi diadun dan dinilai dari rencah ramuan yang sama lantaran masih lagi mempunyai selera lama dan tidak berselera dalam pembaharuan sastera.

Ketika Persatuan Penyair Malaysia mengendalikan Baca Puisi Dunia Covid-19 bersama-sama Nuha Books, Salmah Creative Writing (Indonesia) dan Ombak Script House Production (Singapura), kami berjaya menyatukan suara 17 buah negara dunia dengan jumlah penyertaan sebanyak 300 orang melangkaui bukan sahaja negara-negara Asia malahan merentasi samudera dan benua sehingga ke benua Eropah.

Kejayaan ini menjadi sebutan dan menjadi tajuk utama dalam majalah Dewan Sastera Edisi Jun 2020 dan mendapat liputan meluas di media sosial Malaysia dan Indonesia meskipun pada masa yang sama sebelum acara itu diadakan terdapat lontaran sinis pemeran sastera konvensional yang mempersoalkan apakah kesan dan sumbangan puisi yang berbentuk sedemikian dalam keadaan dunia sebegini.

Masyarakat harus menyedari bahawa acara sastera bukan sahaja dilahirkan sebagai suara kepedulian dan kebersamaan penyair mancanegara tetapi menjadi rantaian persaudaraan yang kuat dalam kalangan penyair dunia. Bukan di Malaysia dan negara serumpun, malahan di serata dunia aktiviti-aktiviti sastera berasaskan digital telah menjadi medium utama dan berkesan untuk dilaksanakan. Acara Baca Puisi Dunia Covid-19 benar-benar membuka mata masyarakat dan menjadi inspirasi kepada pelbagai pihak untuk bekerjasama dengan Persatuan Penyair Malaysia dalam mengendalikan acara-acara berskala antarabangsa.

Antaranya ialah Baca Puisi Dunia Suaramu ke Riba Alam, Semarak Puisi Pendidikan Antarabangsa, Resensi Buku Asean, dan Pidato Bahasa Melayu Antarabangsa yang merupakan acara-acara kerjasama antara Persatuan Penyair Malaysia dengan Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Perguruan Kampus Pendidikan Teknik, Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Universiti Malaysia Pahang telah berjaya diadakan sepanjang tahun 2020.

Antarabangsa

Kesinambungan aktiviti-aktiviti sastera pada skala antarabangsa ini diteruskan lagi pada tahun 2021 melalui pelaksanaan Webinar Pantun Puncak Budi Bahasa dan Sastera melibatkan negara serumpun yang telah diadakan pada 3 April, Sayembara Bahasa Melayu Antarabangsa pada 21 Mac hingga 25 April dan Festival Puisi Antarabangsa yang telah selesai diadakan pada 20 hingga 22 April lalu. Acara-acara ini bukan sahaja disokong dan didokongi Dewan Bahasa dan Pustaka malahan turut mendapat kerjasama dari pelbagai pertubuhan kesusasteraan dalam negara dan luar negara.

Kejayaan dan sokongan banyak pihak terhadap acara sederhana tapi mendunia ini membuktikan bahawa sastera masih lagi malasegar dan diterima masyarakat jagat. Iltizam dan usaha kelompok penyair membangunkan kesedaran kolektif melalui puisi atau apa jua genre kesusasteraan untuk membangunkan kembali oknum psikologi dan emosi khalayak seharusnya disokong tanpa cerca dan prasangka.

Teringat pertemuan saya dengan penyair besar Indonesia, Joko Pinurbo @ Jokpin kali terakhir pada Festival Penulis Bengkulu pada November 2019, ketika diundang sebagai narasumber (pembicara). Kami menaiki kenderaan awam, ‘angkut-angkut’ yang membawa kami ke rumah Gabenor Bengkulu sebagai lokasi acara. Dalam nada bergurau, Jokpin berkata, “nah, angkut-angkut juga bisa masuki rumah Gabenor”. Lama kami tidak ketemu hinggalah acara-acara sebegini diadakan dan mempertemukan kembali secara maya. Namun keakraban itu tetap utuh dan masih mampu ketawa bersama apabila membicarakan candaan itu.

Begitu juga Dr. Myoung Sook Kang dari Korea Selatan yang kerap kali diundang bersama-sama saya sebagai pembicara di Banjarbaru Rainy Day Festival. Selama tiga tahun berturut-turut dari 2017-2019 kami diundang untuk berkongsi seputar sastera hinggalah aktiviti itu terhenti ekoran pandemik. Apabila acara-acara berasaskan digital diadakan, kami bertemu kembali dan masih lagi mampu berkongsi dalam ruang lingkung khalayak yang lebih luas.

Iklim sastera berubah dan pengendali sastera perlu bijak menyesuaikan diri dengan cuaca. Pengantarabangsaan sastera bukan menghapuskan sifat autentik kabilah sastera malahan menjadikan wilayah kembaranya lebih jauh dan meluas.

* Tuan Asri Husin ialah Setiausaha Agung Persatuan Penyair Malaysia


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!