PasRelief gerak lebih 30 NGO bantu kebakaran Cox’s Bazar

Hidup serba serbi kurang, namun mereka tetap mengharapkan ada sinar baharu kepada mereka satu hari nanti.
Hidup serba serbi kurang, namun mereka tetap mengharapkan ada sinar baharu kepada mereka satu hari nanti.
A
A
A

KOTA BHARU - Cakna Palestin bersama lebih 30 badan bukan kerajaan (NGO) bersama di bawah satu gabungan iaitu PasRelief bagi menggerakkan Tabung Bantuan Kebakaran di Cox's Bazar, Bangladesh.

Timbalan Presiden II, Pertubuhan Cakna Palestin, Abdul Shakur Sharrie berkata, ia untuk membantu kebakaran besar yang melanda kem pelarian Rohingya yang melibatkan lebih 50,000 mangsa, pada 22 March lalu.

Menurutnya, Cakna Palestin mensasarkan kutipan minima RM50,000 untuk dana iftar, pembinaan khemah dan kem pelarian bersama PasRelief kali ini sekali gus memberi kelegaan sementara kepada mereka.

“Sasaran awal kami adalah untuk menyumbangkan 10 tempat perlindungan dan khemah kepada10 buah keluarga besar yang terjejas akibat kebakaran ini.

“Itu komitmen kami dengan Sekretariat Misi Cakna Palestin yang telah kami asaskan sejak 2008. Fokusnya tetap Palestin terutama dalam sektor pendidikan dan kemanusiaan di Gaza, selain mengembangkan bantuan khusus secara berkala ke negara tersebut,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Masing-masing menunggu giliran untuk mendapatkan makanan yang disumbangkan.
Masing-masing menunggu giliran untuk mendapatkan makanan yang disumbangkan.

Shakur yang juga Pengarah Program Cakna Palestin untuk 'Misi Kemanusiaan Rohingya di Cox's Bazar' itu memberitahu, pihaknya mengalu-alukan derma dan sumbangan orang ramai bagi menjayakan misi bantuan berkenaan.

Selain itu, Shakur berkata, walaupun berdepan pelbagai kesusahan dan kekangan, ditambah pula dengan kebakaran besar yang melanda, namun penduduk sentiasa mengharapkan ada sinar baharu buat mereka.

Artikel Berkaitan:

“Prasarana dan suasana yang sangat menyedihkan, kem yang sempit dengan kehidupan yang cukup memeritkan, daif dan tiada tempat berteduh yang selesa kerana tempat mereka berteduh musnah dijilat api. Kini, mereka hanya mengharapkan malam bagi melegakan diri dari teriknya kepanasan melampau pada siang.

“Kepada mereka yang ingin menyumbang boleh menghubungi pihak kami dan pengecualian cukai juga disediakan untuk setiap penderma. Dekat atau jauh sumbangan yang dihulurkan, pahalanya tetap berganda terutama di bulan Ramadan kali ini,” katanya.