PTPTN serah takaful percuma hampir RM100,000 kepada keluarga pendeposit

Ahmad Dasuki beramah mesra bersama dengan isteri mendiang, R.Kuppamah sambil menunjukkan surat pengesahan manfaat perlindungan takaful.
Ahmad Dasuki beramah mesra bersama dengan isteri mendiang, R.Kuppamah sambil menunjukkan surat pengesahan manfaat perlindungan takaful.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah menyerahkan takaful percuma hampir RM100,000 kepada balu salah seorang pendeposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) ketika Program Ziarah PTPTN Prihatin di kediamannya di sini, baru-baru ini.

Manfaat perlindungan takaful SSPN-i itu diserahkan oleh Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid kepada isteri mendiang, R Kuppamah.

Menurut beliau, mendiang S Tamilselvan, 57, merupakan seorang ahli perniagaan dan telah meninggal dunia pada 27 Oktober 2019 akibat kanser usus.

"Beliau merupakan pendeposit SSPN-i yang telah membuka akaun pada 11 Ogos 2008 untuk dua anaknya.

"Ketika disahkan meninggal dunia, beliau mempunyai simpanan SSPN-i yang melayakkan beliau menerima manfaat perlindungan takaful dengan jumlah RM96,473.58, bersamaan dengan jumlah simpanan serta khairat kematian sebanyak RM2,000.

"Inilah keistimewaan SSPN-i yang memberikan manfaat perlindungan takaful percuma secara ringgit ke ringgit kepada pendeposit yang mempunyai simpanan RM1,000 dan ke atas jika berlaku kematian atau ilat kekal menyeluruh kepada mereka," katanya.

Jelas Ahmad Dasuki, walaupun nilai manfaat ini tidak dapat menggantikan kasih sayang dan tanggungjawab sebagai seorang bapa, namun simpanan dalam SSPN-i dan nilai manfaat yang diterima dapat menampung kos pendidikan anak-anaknya.

Ujarnya, mendiang telah membuat pilihan yang tepat dengan membuat perancangan kewangan untuk masa depan pendidikan anak-anaknya melalui SSPN-i bagi memastikan pendidikan dan masa depan mereka terjamin walaupun beliau telah tiada.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, SSPN-i turut menawarkan pelbagai keistimewaan lain kepada pendeposit seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, dividen yang kompetitif, simpanan dijamin oleh kerajaan, pemberian geran sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga dan patuh syariah.

"Sehingga 31 Mac 2021, sebanyak 2,985 tuntutan telah dibayar dengan jumlah manfaat perlindungan takaful dan khairat kematian percuma sebanyak RM19.08 juta," katanya.