Speedy Tigers sedia sahut cabaran

Skuad The Speedy Tigers berpeluang beraksi di Tokyo sekiranya terdapat pasukan yang layak menarik diri. - FOTO FB MHC
Skuad The Speedy Tigers berpeluang beraksi di Tokyo sekiranya terdapat pasukan yang layak menarik diri. - FOTO FB MHC
A
A
A

SKUAD hoki senior lelaki kebangsaan sudah bersedia sebarang kemungkinan jika mendapat 'lampu hijau' beraksi di pentas Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang dijadual bermula dari 23 Julai hingga 8 Ogos depan.

Malah, beberapa pelan alternatif juga telah dirangka sebagai persediaan rapi buat skuad kendalian Arul Selvaraj itu sekiranya mereka dikehendaki menggantikan pasukan yang menarik diri pada saat-saat akhir.

Timbalan Presiden Kanan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Prof Datuk Dr S Shamala berkata, buat masa ini pihaknya hanya menunggu pengesahan rasmi daripada penganjur biarpun ada ura-ura mengatakan Afrika Selatan bakal menarik diri.

“Sekiranya pasukan kebangsaan mendapat peluang beraksi pada Sukan Olimpik di Tokyo, saya anggap ia satu rezeki kepada pemain-pemain kerana bukan mudah mendapat peluang sedemikian.

“Kami bersedia sebarang keberangkalian untuk menyahut cabaran pada Olimpik kali ini. Namun, suka saya jelaskan bahawa tumpuan pasukan kebangsaan sekarang adalah Trofi Juara-juara Asia di Dhaka.

“Apa pun KHM tetap memantau rapi berkenaan isu slot Olimpik Tokyo yang melibatkan pasukan Afrika Selatan. Setakat ini, belum ada sebarang keputusan rasmi dibuat,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Terdahulu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail memaklumkan skuad The Speedy Tigers berpeluang beraksi di Tokyo sekiranya terdapat pasukan yang layak menarik diri.

Menurut Ahmad Shapawi, ia berdasarkan desas-desus skuad Afrika Selatan mahu menarik diri tatkala skuad kebangsaan pula diletakkan sebagai pasukan simpanan pertama ke Olimpik Tokyo 2020.

Artikel Berkaitan:

Sebagai rekod, kali terakhir Speedy Tigers membuat penampilan di temasya sukan terbesar di dunia itu adalah pada Olimpik Sydney 2000 dengan meraih kedudukan ke-11.

Mengulas lanjut, Shamala berkata, anak-anak buah Arul telah melakukan latihan berintensiti tinggi selain mengharungi siri perlawanan persahabatan menentang Jepun dan Great Britain.

“Satu yang positif boleh saya katakan pemain-pemain negara sudah mula menemui keserasian dalam kalangan mereka dalam aksi persahabatan menentang Great Britain dan Jepun.

“Mereka juga berjaya mempamerkan peningkatan dalam setiap perlawanan persahabatan itu yang mana itu petanda yang baik setelah hampir lebih setahun pasukan kebangsaan tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif,” ujarnya.