CYDES 2021 himpun pakar keselamatan siber dunia Jun ini

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Program Cyber Defence & Security Exhibition And Conference (CYDES) 2021 secara hibrid iaitu gabungan fizikal dan maya bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 1 hingga 3 Jun depan.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohd Rabin Basir berkata, pakar-pakar keselamatan siber dari seluruh dunia akan berhimpun dalam program selama tiga hari itu.

Beliau berkata, penganjuran CYDES 2021 juga selaras dengan agenda Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) 2020-2024 dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 12 Oktober tahun lalu.

Menurutnya, CYDES 2021 merupakan pameran kepakaran, solusi dan teknologi keselamatan serta pertahanan siber terkini untuk menangani ancaman siber bagi memenuhi keperluan kerajaan, tentera, agensi penguat kuasa dan agensi kritikal negara untuk melindungi rangkaian infrastruktur kritikal negara.

"Ia merupakan platform kerjasama awam swasta dan platform perkongsian maklumat dalam memberi pendedahan kepada syarikat pengeluar teknologi keselamatan dan pertahanan siber untuk meningkatkan peluang pelaburan di Malaysia, yang turut menghasilkan spin-off kepada ekonomi negara.

"Antara pengisian akan dilaksanakan ialah Forum Keselamatan Siber ASEAN selama tiga hari serta sesi Forum MCSS yang akan memfokuskan kepada 20 topik penting berkaitan keselamatan siber.

"Antaranya Keselamatan 5G, Undang-Undang Siber, Cloud Security, Pembinaan Kapasiti, Koordinasi Membanteras Jenayah Siber, Darkweb, Zero Trust, Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence), Kesedaran Keselamatan Siber, Transformasi Digital dan Smart City," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

CYDES 2021 dianjurkan MKN, Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dengan kerjasama Alpine Integrated Solution Sdn Bhd.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Rabin berkata, terdapat juga pameran teknologi keselamatan dan pertahanan siber terkini oleh pemain industri tempatan dan luar negara.

"Antara pemain industri yang mengesahkan penyertaan mereka sebagai pempamer adalah Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Malaysia Airlines Group, System Consultancy Services (SCS), TM One, BAE Systems Applied Intelligence, Beyond Trust, Blackberry, FireEye, Forcepoint, Heitech Padu, Huawei, Lenovo, Palo Alto Networks dan Primary Guard x Cloudflare," katanya.

Katanya lagi, penganjuran program CYDES 2021 juga bakal menjadi jambatan yang menghubungkan kerajaan dan industri keselamatan siber pada tahap lebih strategik untuk mencapai aspirasi, objektif dan matlamat MCSS.

"Penganjuran acara bertaraf dunia ini akan sekali gus menyerlahkan keupayaan Malaysia sebagai pemimpin di rantau Asia Tenggara dan membina kepercayaan kepada pelabur luar," tambahnya.