Lima premis judi haram dipotong bekalan elektrik

Anggota polis bersama kakitangan TNB melakukan pemotongan elektrik di premis terbabit kegiatan judi tanpa lesen. (Gambar kecil: Afzanizar)
Anggota polis bersama kakitangan TNB melakukan pemotongan elektrik di premis terbabit kegiatan judi tanpa lesen. (Gambar kecil: Afzanizar)
A
A
A

MELAKA - Kedegilan lima premis yang masih menjalankan kegiatan perjudian haram sekitar daerah Melaka Tengah berakhir selepas bekalan elektrik dipotong dalam operasi khas di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, operasi bermula jam 10 pagi di kawasan Batang Tiga, Batu Berendam, Banda Hilir dan Ayer Keroh itu turut dikesan melakukan aktiviti tambah nilai untuk berjudi.

Menurutnya, operasi pemotongan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dilakukan mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang bertujuan mengekang kegiatan perjudian haram termasuk memutuskan bekalan elektrik di premis terbabit supaya ia tidak terus beroperasi semula.

"Siasatan mendapati perjudian haram yang dijalankan di premis-premis itu adalah aktiviti perjudian loteri awam tanpa lesen dan tambah nilai untuk berjudi," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut beliau berkata, kesemua premis itu pernah diambil tindakan sebelum ini mengikut Seksyen 4B (A) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 namun masih berdegil dan meneruskan aktiviti mereka.

Katanya, polis memberi amaran keras kepada setiap pemilik premis perniagaan supaya tidak menyalahgunakan lesen niaga mereka bagi menjalankan kegiatan haram terbabit.

"Kami harap orang ramai dapat menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui sebarang kegiatan judi haram di persekitaran mereka," katanya.

Jelasnya, bermula Januari sehingga kini sebanyak 35 premis telah dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik.

Artikel Berkaitan: